
SERAMAI lapan individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor atas pertuduhan mengurung, memeras ugut dan secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah pangsapuri di Plentong, Johor minggu lalu.
Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19; dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22; membuat pengakuan mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab pada Jumaat.
Mengikut kertas pertuduhan, kumpulan itu bersama dua lagi yang masih bebas secara salah mengurung Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan di sebuah flat di Blok J, Jalan Bunga Daisi di Plentong antara pukul 10 malam 18 April lalu dan 4 pagi keesokan harinya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam mafia', pemandu diserang, kereta lumat dikerjakan geng bertopeng ketika parkir
Tangkap layar video memaparkan kejadian mangsa dipukul beramai-ramai di Johor.
Mereka juga didakwa melakukan jenayah dengan mengugut bunuh, memeras ugut wang tunai RM650, merampas kunci motosikalnya, menggunakan kekerasan fizikal serta memaksanya bersetuju membayar RM3,000.
Mahkamah juga mendengar semua tertuduh kecuali Nuredrianna kerana menjadi punca kepada kecederaan fizikal mangsa semasa kejadian.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 342, 506, 384 dan 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kerana niat bersama.
Pertuduhan itu juga membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun bagi kesalahan paling serius, selain denda atau rotan jika disabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai pengarah pendakwaan Johor Abdul Ghafar Abdul Latif, manakala kesemua lapan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) T. Nadarajan dan Norfarahin Mohd Yazid.
Dalam prosiding itu, Pengarah Pendakwaan Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif mencadangkan supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
'Ini bermakna setiap tertuduh lelaki memerlukan jumlah jaminan RM40,000, manakala jaminan Nuredrianna berjumlah RM30,000," katanya.
Dalam mitigasi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) T. Nadarajan dan Norfarahin Mohd Yazidyang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa tiga daripada mereka menganggur manakala yang lain hanya berpendapatan antara RM1,200 dan RM2,000 sebulan.
"Nuredrianna juga menghidap asma," katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM16,000 bagi setiap lelaki dengan seorang penjamin, manakala Nuredrianna diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan kes seterusnya telah ditetapkan pada 3 Jun nanti. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram