Terengganu haramkan jualan vape, rokok elektronik berkuat kuasa 1 Ogos


  • Primer
  • Khamis, 24 Apr 2025

Terengganu akan melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan rokok elektronik dan vape di semua premis perniagaan di negeri itu bermula 1 Ogos ini.

KERAJAAN Negeri Terengganu akan melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan rokok elektronik dan vape di semua premis perniagaan di negeri itu bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 23 April lalu. 

Katanya, ia adalah sebagai langkah proaktif bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda.

BACA LAGI : Langkah kerajaan negeri halang jualan vape tak berkesan jika urus niaga 'online' masih aktif

BACA LAGI : Tiada istilah vape lebih selamat, kesan nikotin risiko lahir anak pramatang, organ bayi rosak — Pakar

"Kerajaan negeri juga memutuskan untuk melarang sebarang bentuk pengiklanan produk vape dan rokok elektronik di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Wan Sukairi, larangan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang lebih sihat. 

Beliau menyeru semua pihak agar memberi kerjasama penuh dalam menjayakan dasar tersebut.

"Pelesenan perniagaan akan dikekalkan seperti sedia ada, dan tiada lesen akan dikeluarkan bagi mana-mana perniagaan yang menjual rokok elektronik atau vape," tegasnya.

Kerajaan negeri juga memutuskan untuk melarang sebarang bentuk pengiklanan produk vape dan rokok elektronik di Terengganu. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Premis yang didapati masih menjual produk berkenaan selepas larangan dikuatkuasakan akan dikenakan kompaun, manakala produk yang dijual akan dirampas. 

Penjual yang ingkar turut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, Wan Sukairi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan daripada pengeluar atau pengedar produk vape bagi program atau acara anjuran kerajaan, termasuk dalam bentuk pengiklanan.

Bagi memastikan pelaksanaan larangan ini berjalan lancar, katanya, peraturan pelesenan sedia ada akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sebagai langkah sokongan, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menawarkan kursus keusahawanan kepada pengusaha dan pekerja industri vape yang terkesan, bagi membantu mereka beralih kepada bidang pekerjaan yang lebih mampan dan berdaya saing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram