[VIDEO] Ramai sekadar merakam, penyelam Israel maut diserang jerung


  • Benua
  • Rabu, 23 Apr 2025

Tangkap layar seorang penyelam maut diserang ikan jerung di pantai Hadera, Israel pada Isnin. — Agensi

SEORANG penyelam disyaki maut selepas diserang seekor jerung di sebuah pantai popular di Hadera, Israel pada Isnin.

Insiden ngeri yang dirakam pengunjung pantai berkenaan turut tular di laman media sosial dan menjadi bualan warga maya di seluruh dunia.

Mangsa, yang identitinya belum dikenal pasti, dipercayai sedang menyelam di perairan berhampiran bandar Hadera apabila diserang secara tiba-tiba oleh seekor jerung yang dipercayai daripada spesies dusky atau sandbar yang mana kedua-duanya jarang menyerang manusia.

Memetik laporan berita antarabangsa, Time of Israel, rakaman video tersebut menunjukkan mangsa menjerit meminta tolong dengan berkata, “Mereka (jerung) gigit saya!” sebelum ditarik lebih jauh ke laut dalam keadaan bergelut dengan pemangsa itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Di mana kamu nak…’, budak autisme Tamparuli masih hilang, rintihan ibu Muhd Aniq Faiz undang sebak

Seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Eliya Motai berkata, pada waktu kejadian, dia sedang berada di dalam air bersama rakan-rakannya yang lain.

“Saya nampak darah dan kedengaran jeritan. Sangat mengerikan,” katanya kepada portal berita Ynet.

 

 

 

 

Sementara itu, seorang lagi saksi, Shlomo, berkata dia dan rakan-rakannya kini mengalami trauma selepas menyaksikan serangan tersebut secara langsung.

"Kami sedang berjalan ke arah pantai apabila melihat seseorang sedang bergelut dalam air. Seekor jerung menerkam mangsa dan cuba menariknya ke laut.

"Ia sukar untuk dilihat dan benar-benar menakutkan. Serangan jerung itu boleh saja berlaku kepada saya," katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan beberapa bahagian tubuh manusia dipercayai milik mangsa ditemui pada Selasa dalam operasi besar-besaran pencarian melibatkan penyelam, jetski dan helikopter.

Namun, pihak polis belum dapat mengesahkan sama ada mayat tersebut milik penyelam yang hilang.

Jurucakap polis, Aryeh Doron mengesahkan terdapat beberapa penemuan yang telah dihantar untuk pemeriksaan forensik, dan kita akan tunggu keputusan rasmi daripada pihak pakar.”

Menurut laporan portal berita Ynet, maklumat lanjut mengenai mangsa masih belum diperoleh buat masa ini.

Dalam perkembangan berbeza, pakar hidupan laut Israel memaklumkan bahawa serangan jerung amat jarang berlaku di negara itu, dengan hanya dua insiden direkodkan sejak 80 tahun lalu.

Serangan terakhir yang mengorbankan nyawa berlaku pada tahun 1940-an.

Ketua renjer marin di Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel, Yigael Ben-Ari, mengesahkan bahawa kejadian ini adalah insiden ketiga seumpamanya yang pernah berlaku di negara itu.

Menurut Yigael, jerung dusky boleh mencapai panjang sehingga empat meter dan seberat 340 kilogram, manakala jerung sandbar pula bersaiz lebih kecil dengan panjang sekitar 2.5 meter dan berat 100 kilogram.

Pantai di sekitar Mediterranean utara Israel, termasuk Hadera, semakin menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara susulan kehadiran jerung-jerung ini, yang sering dilihat berenang berhampiran pantai.

Malah, satu video yang tular baru-baru ini menunjukkan seekor jerung besar berenang menghampiri seorang kanak-kanak di kawasan cetek.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada ketika berada di dalam air, terutama di kawasan yang diketahui menjadi habitat jerung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram