
ZHANG Yiming, pengasas syarikat gergasi teknologi China ByteDance, kini dinobat sebagai individu terkaya di China buat kali pertama, menurut Indeks Billionaires Bloomberg.
Kekayaan peribadi Yiming dilapor mencecah $57.5 bilion (RM270.25 bilion), mengatasi Zhong Shanshan, pengasas syarikat air botol, Nongfu Spring dan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tencent, Ma Huateng.
Kekayaannya telah melonjak lebih daripada $10 bilion (RM47 bilion) selepas Bloomberg menganalisis penilaian daripada pelabur.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
Indeks itu juga menunjukkan bahawa Yiming kini menduduki tempat ketiga terkaya di Asia.
Yiming, berusia 41 tahun, dilahirkan di Longyan, wilayah Fujian, China.
Beliau dilaporkan berasal daripada keluarga kelas pertengahan dengan kedua-dua ibu bapanya difahamkan adalah pegawai kerajaan.
Yiming lulus dari Universiti Nankai pada 2005, tempat yang mana beliau mula belajar dalam bidang mikroelektronik sebelum menukar jurusannya kepada kejuruteraan perisian.
Yiming mengasaskan ByteDance pada 2012. — Agensi
Pekerjaan pertama beliau selepas keluar dari kolej adalah di syarikat pemula menyediakan khidmat tempahan perjalanan digital, Kuxun.
Yiming berkata, meskipun memegang peranan selaku jurutera pada awalnya, beliau kemudian diberi tanggungjawab mengendalikan 40 hingga 50 orang pekerja pada tahun kedua di syarikat itu.
Beliau dilaporkan cukup menghargai pekerjaan itu kerana menurutnya ia telah memberikan pendedahan kepadanya mengenai kemahiran jualan untuk mengembangkan ByteDance, termasuk mempelajari "apakah itu jualan yang baik."
Yiming turut mempelajari nilai mengejar kecemerlangan semasa masih dalam pekerjaan pertamanya di Kuxun.
"Pada masa itu, saya bertanggungjawab ke atas teknologi, tetapi apabila produk itu menghadapi masalah, dan saya akan mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan rancangan produk.
"Ramai orang berkata ini bukan perkara yang saya patut lakukan. Tetapi saya ingin katakan: rasa tanggungjawab anda dan keinginan anda untuk melakukan sesuatu dengan baik, akan mendorong anda melakukan lebih banyak perkara dan untuk menimba pengalaman," katanya seperti dilaporkan media.
Yiming juga bekerja di Microsoft sebelum mengasaskan ByteDance.
Beliau mengasaskan ByteDance pada 2012 dari sebuah apartmen empat bilik di Beijing.
Yiming turut membangunkan Toutiao, aplikasi agregator berita, dan TikTok – platform video pendek yang kini menjadi fenomena global.
Kedua-dua produk itu telah mengubah cara orang ramai menerima maklumat dan hiburan.
Pekerjaan pertama beliau selepas tamat kolej adalah di syarikat pemula menyediakan khidmat tempahan perjalanan digital, Kuxun. — Agensi
Menurut Time, Yiming mengamalkan gaya kepimpinan yang "lembut tetapi berkarisma, logik tetapi bersemangat, muda dan bijaksana."
Beliau meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif pada 2021, dengan memberi alasan bahawa dirinya "kekurangan beberapa kemahiran yang menjadikannya sebagai seorang pengurus ideal".
Beliau kini memberikan tumpuan pada strategi jangka panjang, budaya korporat dan tanggungjawab sosial syarikat terbabit.
Menurut South China Morning Post, Yiming mahu aplikasi itu terus berkembang di luar negara dan mengatakan bahawa beliau berharap ByteDance akan berkembang "tanpa sempadan seperti Google."
"Kita mesti bekerja lebih keras, kita juga mesti lebih menekankan kesempurnaan.
"Sama seperti pembahagian tugas buruh di peringkat antarabangsa pada zaman perindustrian, situasa sama berlaku pada era kini.
"Usahawan China juga mesti meningkatkan keupayaan sendiri apabila muncul ke peringkat global," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram