Kenal pasti sekolah terlibat, KPM sedia laksana PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Isnin, 21 Apr 2025

KPM bersedia melaksanakan PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei dan Oktober depan. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei dan Oktober depan, sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa KPM kini sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang akan terlibat dalam pelaksanaan PdPR tersebut.

"Ya, memang ada perbincangan (pelaksanaan PdPR) dan kita sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang terlibat untuk memastikan kelancaran program Asean dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Minta maaf sebab jalan sesak', Kabinet cadang WFH, PdPR semasa Sidang Kemuncak Asean — Tok Mat

BACA LAGI : [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

"Jadi tidak ada masalah, kita bersedia untuk melaksanakan proses tersebut dan juga kita memberikan komitmen sepenuhnya, dan memang ada perkara itu dibincangkan (di KPM)," katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi dekat Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mencadangkan pelaksanaan PdPR dan dasar bekerja dari rumah sepanjang sidang kemuncak berkenaan.

Cadangan tersebut dikemukakan susulan kesulitan yang dialami orang ramai, terutamanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya, ketika lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini yang menyebabkan penutupan beberapa laluan utama.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM mengambil perhatian penuh berhubung sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan diselaraskan mulai pengambilan Januari 2026.

"Kita memang ambil perhatian penuh kepada semua, termasuk semua jenis ujian kelayakan dan sebagainya untuk kemasukan itu, Insya-ALLAH perkara itu sedang diselaraskan (di peringkat KPM dan MRSM) jadi tidak ada masalah dalam konteks tersebut,” katanya. — The Star/IMRAN HELMY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram