
TIGA lelaki yang tular dalam satu rakaman video memecah masuk sebuah rumah di Taman Saujana Tehel dekat Bemban, Melaka ketika Ramadan lalu, telah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Jasin, Jumaat lepas.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua penganggur dan seorang pekerja hotel, masing-masing berusia antara 31 hingga 41 tahun, didakwa atas kesalahan menceroboh dan mencuri.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu pada 12 Mac lalu, sebelum siasatan dijalankan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jasad lelaki hanyut dibawa arus gemparkan penduduk Langat
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memecah masuk ke kediaman mangsa dan melarikan sebuah alat mengurut leher serta sebuah komputer riba, sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hijau,” katanya pada Isnin.
Tiga lelaki yang tular memecah masuk dan mencuri di sebuah rumah dekat Taman Saujana Tehel, Bemban, di sini, pada Ramadan lalu sudah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Jasin, Jumaat lalu. pic.twitter.com/8fP1oVxQWX
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) April 21, 2025
Susulan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menahan kesemua suspek pada 1 April lalu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Polis turut merampas beberapa peralatan pecah rumah serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut," katanya.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek terbabit dalam kegiatan pecah rumah bagi menampung ketagihan dadah.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret Jasin yang dikendalikan oleh Majistret Mazana Sinin, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut.
Sebelum ini, pada 13 Mac, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 37 saat yang memaparkan tindakan tiga lelaki memecah masuk ke sebuah rumah di taman perumahan berkenaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram