Pempengaruh terima teguran, pulangkan wang infaq RM400 lepas 'post' kutip dana awam anjur majlis hari raya


  • Massa
  • Ahad, 20 Apr 2025

Pempengaruh yang sebelum ini dikritik kerana memuat naik hantaran mengajak orang ramai untuk membuat infaq buat majlisnya.

SEORANG pempengaruh menerima teguran orang ramai dengan berlapang dada selepas memuat naik hantaran meminta bantuan dana awam untuk menganjurkan majlis sambutan hari raya bersama anak yatim, golongan asnaf dan pelajar tahfiz.

Sebelum ini, hantarannya yang mengajak orang ramai menyertainya untuk melakukan infaq dan menyalurkan bantuan itu menerima kritikan hebat daripada warganet. 

Dalam hantaran tersebut, turut disertakan imbasan kod dan nombor akaun bank peribadinya untuk sesiapa yang mahu menyalurkan sumbangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Luluh hati ibu tengok CCTV anak 2 tahun menangis ditinggal bibik lari rumah

BACA LAGI: Larangan MBDK upah pekerja asing jadi pembantu gerai buka peluang warga tempatan dapat kerja

Hantaran yang dimuat naiknya sebelum dipadam selepas ditegur orang ramai.

Susulan itu, pempengaruh yang dikenali sebagai Prince Syed Syahid mengakui kesilapannya kerana memuat naik hantaran sedemikian di media sosial.

"Nasib baiklah ada yang beri teguran membina. Berkenaan isu majlis yang bakal saya buat 27 April ini, rupanya tidak boleh dibuat hantaran ajak sesiapa yang nak sertai infaq dengan kami.

"Kami tak tahu, sebab sebelum ini hanya pernah lihat hantaran infaq macam ini. Kalau tahu dari awal dan beritahu secara baik dengan kami, pasti akan terima dengan hati yang terbuka insha-ALLAH," tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, wang infaq yang sudah diterimanya sebanyak RM400 akan dipulangkan semula kepada individu terlibat.

Dia juga mengambil maklum perkara tersebut dan ia dijadikan sebagai pengajaran buatnya. 

"Dan saya dah maklumkan kepada kenalan baik yg ada beri infaq sebanyak lebih kurang RM 400 kepada kami.

"Kami dah minta untuk hubungi pembantu peribadi saya untuk kita pulangkan semula ya.

"Terima kasih yang menegur ya. Kami terima dengan hati terbuka dan akan perbaiki diri dari semasa ke semasa," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram