[VIDEO] 'Taktik makan free kali ke-2 gagal', helah pelanggan elak bayar guna QR disedari tauke restoran ketika balik umrah


  • Massa
  • Isnin, 21 Apr 2025

Tangkap layar seorang lelaki didakwa cuba menipu sebuah restoran dengan menggunakan resit pindahan wang palsu dalam dua kejadian berasingan di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai menipu sebuah restoran dengan menggunakan resit pindahan wang palsu dalam dua kejadian berasingan di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

Kejadian berlaku di restoran Tomyam Nam Khon by Dikara Kitchen, Seksyen 13, pada 13 dan 14 April lalu membabitkan kerugian lebih RM350.

Pemilik restoran, Syamimi Omar, mendakwa, kejadian pertama berlaku ketika dia berada di Makkah menunaikan umrah.

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

BACA LAGI: [VIDEO] Jasad lelaki hanyut dibawa arus gemparkan penduduk Langat

 

 

Syamimi Omar

"Kejadian pertama berlaku apabila suspek datang seorang diri dan membuat pesanan makanan bernilai lebih RM40.

"Suspek meminta untuk membuat pembayaran melalui pindahan wang ke akaun bank atas alasan mudah untuk membuat tuntutan dengan syarikat. Pengurus restoran ketika itu bersetuju dan memberikan nombor akaun.

"Selepas suspek menunjukkan resit transaksi, pengurus membenarkan pembayaran dibuat walaupun terlupa untuk mengambil gambar resit,” dakwanya kepada Majoriti.

Dakwa Syamimi, pada keesokan hari, suspek datang semula ke premis bersama dua lelaki dewasa, seorang wanita, seorang kanak-kanak dan seorang bayi, sebelum membuat pesanan berjumlah lebih RM300.

"Kali ini pengurus lebih berhati-hati dan mengambil gambar resit selain meminta nombor telefon suspek,” katanya.

Bagaimanapun, selepas membuat semakan penyata bank, Syamimi mendapati tiada sebarang kemasukan wang daripada kedua-dua transaksi itu.

"Saya cuba menghubungi nombor telefon yang diberikan, namun ia tidak dapat dihubungi. Sebaik pulang ke Malaysia pada Ahad, saya terus membuat laporan polis.

“Alhamdulillah, suspek berjaya ditahan pihak berkuasa pada malam hari sama,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan penahanan kedua-dua suspek.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada Ahad daripada mangsa berusia 35 tahun yang menyedari dirinya ditipu oleh pelanggan yang menunjukkan resit pembayaran palsu sebagai bukti pembelian.

Susulan maklumat tersebut, polis menahan dua suspek lelaki tempatan pada pukul 2.50 pagi Isnin.

Siasatan awal mendapati kedua-duanya yang masing-masing berusia 34 tahun dan 35 tahun memiliki rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dengan salah seorang mempunyai tiga rekod lampau manakala seorang lagi memiliki satu rekod lampau.

“Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga 24 April 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Mohd Iqbal mengingatkan para peniaga agar sentiasa berwaspada terhadap resit pembayaran digital, khususnya yang diserahkan dalam bentuk tangkap layar secara manual.

“Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram