Kontroversi Jalur Gemilang: 2 editor kanan Sin Chew Daily ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Khamis, 17 Apr 2025

Polis menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. — Facebook/Sin Chew Daily

KETUA Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily pada Khamis ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar harian erbahasa Cina itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

BACA LAGI :  'Tak mustahil warga emas terpedaya', waspada scammer hari-hari WhatsApp, menyamar Tengku Hassanal tubuh 'Royal Club'

BACA LAGI : Transaksi terakhir bank dikesan di Kajang, anak bimbang ibu asal Puncak Alam hilang ketika 'check' kesihatan di Hospital Selayang

"Kedua-dua individu berkenaan akan akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini (Khamis)," katanya ketika dihubungi. 

Razarudin berkata, setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

 

Terdahulu, Sin Chew Daily sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf dalam tiga bahasa atas kesilapan dalam ilustrasi di muka depan akhbarnya.

Permohonan maaf tersebut dibuat dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan bahasa Cina.

Menurut kenyataan daripada akhbar harian berbahasa Cina itu, ilustrasi tersebut secara tidak sengaja telah tertinggal lambang bulan sabit pada bendera Malaysia, yang diterbitkan pada hari Selasa (15 April).

"Kesilapan ini berlaku secara tidak sengaja semasa proses reka bentuk. Kami telah membetulkan versi digital, dan notis yang sama akan diterbitkan dalam versi cetak juga. Kami memohon maaf sepenuhnya kepada para pembaca kami, warga masyarakat Malaysia, dan orang ramai. Kami amat kesal atas kesilapan ini," katanya.— The Star/ FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram