
Selama beberapa dekad, pengerusi Prada SpA yang sangat berpegang pada prinsip berdikari, Patrizio Bertelli, berbicara tentang keperluan rumah fesyen Itali untuk mencapai saiz dan skala yang lebih besar bagi menyaingi pemain industri gergasi lain seperti LVMH dan Kering SA.
Namun begitu, usaha beliau untuk memperkasakan syarikat yang dikelola bersama isterinya, Miuccia Prada melalui gelombang pengambilalihan padan akhir tahun 1990-an telah menyebabkan kumpulan itu dibebani hutang melebihi kira-kira RM5 bilion dan akhirnya memaksa pasangan tersebut mendapatkan bantuan dana daripada bank-bank bagi mengelakkan kehilangan kawalan ke atas syarikat sendiri.
Lebih suku abad kemudian, keluarga itu, termasuklah anak sulung merangkap pewaris, Lorenzo, melakar sejarah baharu apabila mereka mengambil langkah pengambilalihan terbesar dalam sejarah 112 tahun Prada iaitu dengan menjadi pemilik sah jenama Versace.
BACA LAGI: Anak selebriti tawan pentas peragaan, jadi wajah kempen kecantikan terkemuka
Pada 10 April lepas, Prada bersetuju untuk membeli jenama yang diasaskan pada tahun 1970-an oleh pereka tersohor, mendiang Gianni Versace daripada Capri Holding Ltd pada harga €1.2 bilion atau sekitar RM6.28 bilion.
Menurut sumber, jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding harga permintaan awal yang melebihi €2 bilion (RM10 bilion).
Malah, Prada berjaya mendapatkan diskaun saat akhir daripada harga yang dipersetujui sebanyak €1.4 bilion (RM7 bilion), susulan ketidaktentuan yang tercetus akibat pengumuman dasar tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Apabila Versace menyertai keluarga Prada, langkah ini memberi keupayaan kepada rumah fesyen Itali tersebut untuk berdiri semula dalam perjuangan merebut pelanggandalam gelanggang industri mewah dunia.
Penambahan aset ini mengukuhkan lagi perancangan kesinambungan kepimpinan keluarga Prada-Bertelli yang memiliki 80 peratus pegangan dalam Prada.
Miuccia, 76, dan Patrizio,79, berazam untuk menyerahkan tampuk syarikat kepada Lorenzo dengan cara memastikan rumah fesyen itu dapat mengekalkan kebebasannya.
Memastikan kesinambungan kepimpinan merupakan isu yang kritikal bagi perniagaan keluarga di Itali.
Selama bertahun-tahun, mereka telah menyaksikan satu persatu jenama diambil alih oleh pemain industri global yang lebih besar.
LVMH yang kini memiliki Fendi dan Loro Piana, sudahpun membeli saham dalam syarikat yang mengawal Moncler SpA. Pemilik Gucci dan Bottega Veneta, Kering telah pun mengambil alih Valentino.
Bagi keluarga-keluarga di sebalik jenama-jenama ini, ia bermakna kehilangan kawalan terhadap perniagaan mereka.
Lorenzo, 36, bekas pelumba rali yang menyertai perniagaan keluarga kira-kira enam tahun lalu, kini bergelar ketua pemasaran dan tanggungjawab sosial di Prada.
Beliau bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab bapanya pada tahun-tahun akan datang.
Di Versace, Prada sebenarnya berhadapan dengan sebuah jenama dengan estetika berlawanan kutub, meluaskan julatnya. Walaupun Miuccia telah mencipta gaya "ugly chic", Versace pula dikenali dengan rekaan mewah dengan hamparan cetakan ikonik Barocco.
"Estetika Versace yang tersendiri sangat sesuai dngan portfolio kami, menambah pelengkap dari segi kreativiti dan pelanggan," kata Lorenzo.
"Seperti yang kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membuka kunci potensi penuh jenama tidak semestinya memerlukan revolusi, sebaliknya evolusi melalui langkah-langkah kecil yang berterusan."
Pembelian oleh Prada ini hadir selepas mencatatkan keputusan rekod pada tahun 2024, hasil kejayaan label Miu Miu yang menyasarkan pengguna muda dan membantu syarikat menghadapi kemerosotan global dalam sektor fesyen mewah.
Tetapi mengambil label yang bermasalah, walaupun nama global masih jauh dari zaman kegemilangannya pada 1980-an dan 1990-an, mungkin merupakan usaha yang berisiko dalam iklim semasa sektor mewah.
"Kami melihat pelancaran semula itu, sebagai satu proses yang panjang dan mencabar, yang sedikit mencairkan kisah ekuiti pertumbuhan ketara dan konsisten dua jenama utama, Prada dan Miu-Miu," kata Paola Carboni, seorang penganalisis di Equita, dalam nota kepada pelanggan.
Prada yang diumumkan melalui IPO 2011 di Hong Kong, telah jatuh lebih 30 peratus daripada rekod tertinggi pertengahan Februari. Prada memberikan amaran bahawa membetulkan hala tuju Versace akan mengambil masa.
Keputusan untuk membeli jenama itu adalah "demi jangka panjang, demi kejayaan jangka panjang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Prada, Andrea Guerra.
Menurut sumber yang enggan dinamakan kerana membincangkan rancangan dalaman, Prada merancang untuk mengendalikan Versace sebagai unit berasingan, sama sepeti yang dilakukan terhadap Miu Miu.
Miuccia atau dikenali sebagai "La Signora" dalam kalangan warga syarikat, tidak akan mereka sebarang koleksi untuk Versace, yang kini telah melantik Dario Vitale iaitu bekas pereka di Miu Miu sebagai Ketua Pegawai Kreatif baharu, menggantikan Donatella Versace yang berundur baru-baru ini.
Prada kini perlu menentukan hala tuju jenama Versace bagi memulihkan semula kegemilangannya.
Dalam perkembangan yang memberi harapan kepada syarikat keluarga di Itali, perjanjian ini telah menyatukan dua keluarga paling terkenal dalam industri fesyen negara itu.
Donatella yang meletak jawatan pada Mac sebagai pengarah kreatif Versace, mulai menduduki kerusi itu sejak tahun 1997, apabila abangnya Gianni dibunuh di luar rumahnya di Florida. — Bloomberg
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram