[VIDEO] Hampir 2 dekad simpan emas, wanita Medan untung lebih RM10,000 jual logam berharga


  • Benua
  • Khamis, 17 Apr 2025

Pelanggan wanita ini tersenyum lebar setelah mengetahui nilai emas yang disimpannya melonjak tinggi.

SEORANG wanita dari Kota Medan, Indonesia mendapat perhatian ramai di media sosial selepas berjaya memperoleh keuntungan besar hasil penjualan emas yang dibelinya hampir dua dekad lalu.

Emas yang dibeli sekitar 2005 dengan harga lebih kurang RM1,700 (6.7 juta rupiah) kini dijual pada harga mengejutkan iaitu kira-kira RM13,600 (52 juta rupiah).

Kisah tersebut dirakam dalam satu video pendek yang menunjukkan wanita itu tersenyum lebar setelah mengetahui nilai barang kemas dipercayai rantai yang disimpannya melonjak tinggi.

BACA LAGI: 'Saya sendiri sebagai ibu dapat rasakan', Sesal alunan Siti Nurhaliza singkap penderitaan hilang anak perempuan

BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi

"Nasib baik untung 45.5 juta rupiah (hampir RM12,000), baguslah puan,” kata seorang pekerja kedai emas dalam video itu.

Wanita berkenaan turut melambai dan tersenyum kegembiraan selepas urusan jual beli selesai.

Turut kelihatan sebahagian gambar resit tertera perkataan 'rantai' dipercayai barang kemas yang digadaikannya.

Difahamkan, video itu dirakam di Kedai Emas Gintar, cawangan Jalan Perang, Mukim Pulo Brayan, Medan.

Menurut pekerja dari cawangan utama di Jalan Pringgan, Aya, 44, trend orang ramai menjual emas meningkat sejak kebelakangan ini berikutan kenaikan harga emas yang ketara.

“Selepas Hari Raya Aidilfitri, harga emas naik setiap hari antara RM12 hingga RM15 (40,000 hingga 50,000 rupiah),” katanya.

Aya berkata, harga emas London kini mencecah RM515 per gram (1.7 juta rupiah), berbanding hanya RM364 per gram (1.2 juta rupiah) pada awal tahun.

Peningkatan harga itu menyebabkan ramai pelanggan tampil menjual emas berbanding membeli.

“Sebelum raya, ramai datang membeli sebab menjangkakan harga akan naik. Tapi sekarang, pelanggan kebanyakannya datang untuk menjual emas,” katanya lagi.

Aya menjelaskan bahawa lazimnya kira-kira lima pelanggan menjual emas setiap hari, tetapi sejak kebelakangan ini jumlah itu meningkat kepada 20 orang sehari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram