
JABATAN Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan berlaku kes kehilangan bayi kembar berusia sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis, Pahang yang tular di media sosial.
JKNP dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung laporan kes tular di media sosial bertajuk 'Sepasang bayi kembar hilang dilarikan oleh doktor palsu di Hospital Kuala Lipis' pada Jumaat.
Katanya, hantaran di Facebook itu menyatakan bayi kembar yang didakwa dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan hilang semalam, dilarikan oleh 'doktor palsu' bernama Dr Amalina Husna.
BACA LAGI : [VIDEO] Bapa tunggal mengaku tak bersalah samun wanita di 2 lokasi berbeza dekat Kulai
"Siasatan awal yang dilaksanakan mendapati tiada bayi kembar seperti didakwa menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
"Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
JKNP menafikan berlaku kes kehilangan bayi kembar berusia sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis, Pahang yang tular di media sosial. — Gambar Hiasan/Chatgpt
Jelas kenyataan itu lagi, bagi dakwaan wujudnya doktor palsu bernama Dr Amalina Husna yang merawat ‘bayi’ selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis.
"Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan berita tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya.
"Laporan itu dibuat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan khususnya JKNP serta perawatan di Hospital Kuala Lipis.
"Orang ramai diingatkan berhati-hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man pada kenyataan ringkas pada Sabtu turut mengatakan, kejadian itu tidak berlaku dan dianggap fitnah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram