
SEORANG pengawal keselamatan di Tampoi, Johor Bahru, Johor terpaksa menanggung kesakitan tersepit di bawah lori kargo selama lebih 20 minit selepas kenderaan tersebut yang mengalami masalah brek bergerak secara tiba-tiba sebelum melanggarnya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Abdul Wahab Nasir berkata, insiden tersebut berlaku semasa lori kargo terbabit cuba memasuki sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tampoi pada petang Rabu.
Ketika insiden, seorang pengawal keselamatan wanita cuba membuka pintu pagar beroda di premis terbabit namun tidak berhasil.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
"Mangsa meminta bantuan seorang lelaki untuk membuka pintu pagar berkenaan, namun ketika menunggu pagar berkenaan dibuka, lori kargo dipercayai tiba-tiba bergerak sendiri.
"Pengawal keselamatan itu tidak menyedarinya sehinggalah lori kargo terbabit melanggarnya menyebabkan dia terperosok di bawah kenderaan terbabit," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Abdul Wahab berkata, susulan kejadian tersebut, pihak pengurusan kilang menghubungi bomba sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, bomba terpaksa mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan 'air lifting'.
"Wanita tersebut yang mengalami kecederaan pada kepala dan kaki dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram