
ISU berkenaan dakwaan kewujudan kartel jenazah semakin mendapat perhatian ramai selepas ia didedahkan seorang lelaki di platform media sosial baru-baru ini.
Ia selepas tularnya satu perkongsian tentang proses pengebumian oleh pengguna aplikasi Thread @pishieplease pada Ahad minggu lalu.
Mengulas lanjut tentang kisah pengguna tersebut, pengguna Facebook Mr Wan Chai Official mendakwa bahawa terdapatnya kegiatan kartel jenazah berleluasa dalam kalangan kakitangan sebuah hospital di Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Penting daftar khairat kematian, lelaki kongsi pengalaman urus jenazah pak cik bukan warganegara
Kartel itu juga didakwa mengambil kesempatan terhadap waris si mati, terutamanya mereka yang berstatus bukan warganegara atau pemegang kad pengenalan merah.
Menurutnya, aktiviti itu juga melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan memperdaya waris ketika dalam situasi penuh emosi dan kesedihan.
"Perkara begini tak boleh dibiarkan sahaja. Perlu ada pendedahan dan pengajaran kepada sampah-sampah yang terlibat.
"Menganiaya jenazah dan waris satu perbuatan yang sangat kejam. Mereka lebih jahat daripada syaitan.
"Dapat pula IC (kad pengenalan) merah atau warga asing ibarat kena jackpot," tulisnya.
Sebelum ini, @pishieplease berkongsi pengalamannya terlibat dalam proses menguruskan jenazah Muslim di Malaysia ternyata memerlukan bayaran dan kos sedikit tinggi.
Selain memberi penekanan terhadap kepentingan mendaftar khairat kematian, dia juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa pihak yang sengaja mengenakan bayaran tidak munasabah terhadap warga asing meskipun beragama Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram