
SEORANG lelaki cedera parah akibat bergelut melepaskan diri selepas ditetak dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa ditetak oleh seorang lelaki menggunakan parang kira-kira pukul 7 malam.
Beliau berkata, pihaknya percaya kejadian itu membabitkan unsur gangsterisme akibat dendam.
BACA LAGI: Penting daftar khairat kematian, lelaki kongsi pengalaman urus jenazah pak cik bukan warganegara
BACA LAGI: Perut budak umur 3 tahun tiba-tiba memboyot, seminggu sembelit rupa-rupanya penuh cacing
Mohamad Hatta berkata, kejadian yang sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosia itu juga membabitkan mangsa yang berusia 40 tahun.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku dalam bangunan pusat beli-belah ketika mangsa sedang berehat seorang diri sambil merokok.
"Kejadian itu berlaku apabila mangsa dikejutkan dengan kemunculan sekumpulan lelaki yang berlari dari eskalator aras bawah dengan seorang daripada mereka memegang parang.
"Mangsa yang tidak sempat mengelak dikatakan dilibas berkali-kali oleh suspek. Selepas berjaya bangun, mangsa yang cedera terus melarikan diri dan dipercayai diselamatkan rakan yang melihat kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan luka pada kedua-dua lengan, belakang serta kaki kanan dilaporkan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan manusia menggunakan senjata.
Tambahnya, suspek juga dikenal pasti dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang dijalankan.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Tharvin di talian 019-3666048 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram