[VIDEO] 'Umi pergi sebagai tetamu ALLAH, dijemput di tanah paling mulia'


  • Tular
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Tangkap layar video 4zizz._ bersama ibunya di lapangan terbang sebelum berangkat ke Makkah mengundang sebak dalam kalangan warga maya.

"UMI (ibu) pergi sebagai tetamu ALLAH, dan ALLAH memilih untuk menjemput umi di tanah yang paling mulia." 

Demikian luahan penuh emosi seorang lelaki, 4zizz._ di laman TikTok miliknya baru-baru ini yang yang berkongsi kisah duka pemergian ibunya yang meninggal dunia ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah pada awal April lalu.

Perkongsian tersebut yang dimuat naik menerusi media sosial nyata menyentuh hati ramai netizen.

BACA LAGI : Tragedi Putra Heights: Kontraktor antara 179 individu dirakam keterangan — Polis Selangor

BACA LAGI : JKNP nafi dakwaan kes bayi kembar hilang dilarikan doktor palsu di Hospital Kuala Lipis

Dalam nukilannya, lelaki itu berkongsi saat terakhir bersama arwah ibunya sebelum berangkat ke Tanah Suci, termasuk pelukan dan doa yang masih segar dalam ingatannya.

"Aku masih ingat, sebelum langkah umi ke Makkah, kita sempat bersalaman, berpelukan erat. Hangat tubuh umi, lembut suara doa umi masih terasa jelas di dada ini. 

"Siapa sangka, itulah pelukan terakhir antara kita di dunia ini," tulisnya.

Menurutnya, walaupun berat untuk melepaskan pemergian insan tercinta, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya bahawa ibunya menerima penghormatan yang amat mulia kerana disemadikan di bumi Haramain, tanah yang diberkati.

"Bumi Haramain kini menjadi tempat persemadian umi. Tempat di mana doa-doa tak pernah terputus, dan setiap rindu kuiringi dengan harapan agar umi tenang di sisi-Nya," tulisnya. 

Lelaki berkenaan turut memuat naik satu video memaparkan arwah ibunya sebelum berangkat ke tanah suci dan video itu kemudiannya ditularkan semula di laman Facebook pada Sabtu. 

Pemergian ibu 4zizz._ disifatkan sebagai sebuah kehilangan yang sangat dicemburui oleh ramai, apatah lagi meninggal dunia dalam keadaan sedang menunaikan ibadah sebagai tetamu ALLAH.

Rata-rata netizen melihat perkongsian video tersebut meluahkan rasa hiba dan mengakui betapa bertuahnya arwah ibu lelaki itu kerana dijemput menghadap Ilahi di tanah paling suci umat Islam.

"Tak siapa sangka pelukan dan lambaian itu adalah yang terakhir untuk keluarga ini. Walau tak kenal, tapi jelas dapat dilihat ibu awak seorang yang sangat baik. 

"Sebab itu ALLAH sayang dia dan pilih dia untuk bersemadi di sana. Salam takziah buat awak sekeluarga. Sungguh, pemergian ini sangat-sangat dicemburui. Al-Fatihah.”

Perkongsian penuh makna itu bukan sahaja mengundang air mata, malah menjadi peringatan buat ramai agar sentiasa menghargai kehadiran insan tersayang selagi mereka masih ada.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram