
PANAS terik bukan penghalang buat pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sentiasa bersiap siaga menggalas amanah dan tanggungjawab dalam apa jua keadaan.
Komitmen itu terbukti apabila anggota JBPM Perak bertindak pantas memadam kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat dekat Menggelembu, Perak pada Sabtu.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, deretan tujuh bilik di bangunan tingkat tiga trsebut terbakar.
BACA LAGI: JKNP nafi dakwaan kes bayi kembar hilang dilarikan doktor palsu di Hospital Kuala Lipis
Difahamkan, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Saksi kejadian, Norzila Yusoff, meluahkan rasa kagumnya terhadap pengorbanan pasukan bomba yang jelas tidak mengenal penat.
"Habis... panas terik, kesian tengok anggota naik turun tangga. Terima kasih 'team Harapan' sampai bawa air.
"Saya tengok sendiri, laju mereka bagi air minuman. Kami yang tengok pun dahaga, inikan pula anggota yang sedang jalankan kerja," katanya melalui satu hantaran komen di Facebook.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata, kebakaran itu melibatkan tiga kelas pelajaran, sebuah bilik khas, sebuah studio seni dan dua stor.
"Kejadian berkenaan mengakibatkan kemusnahan bangunan kelas A dianggarkan 30 peratus," katanya.
Terdahulu, kebakaran sekolah menengah itu turut tular apabila dikongsikan beberapa pengguna maya.
Difahamkan, pada waktu kejadian, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan jamuan Aidilfitri turut berlangsung di sekolah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram