[VIDEO] Kes suspek lolos maut dan polis cetus persoalan tahap keselamatan pagar landasan kereta api


  • Benua
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan sebuah kenderaan jenis Mazda merempuh lintasan kereta api di Poland.

SATU rakaman lama yang merakam insiden kejar-mengejar antara polis dan seorang suspek di Poland kembali tular di media sosial, mengundang semula persoalan berhubung tahap keselamatan pagar di lintasan kereta api negara itu.

Insiden yang berlaku pada tahun 2021 itu dirakam ketika sebuah kereta jenis Mazda dipandu laju meloloskan diri daripada sekatan jalan raya polis di kawasan Wola Radziszowska, daerah Malopolska.

Menurut jurucakap polis Malopolska, suspek Sebastian Gle yang berusia 25 tahun ketika itu dikesan memandu pada kelajuan 108 kilometer sejam di kawasan had laju 50 km/j.

"Polis segera mengeluarkan isyarat untuk memberhentikan kenderaan, namun suspek bertindak melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis yang memberi arahan berhenti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Umi pergi sebagai tetamu ALLAH, dijemput di tanah paling mulia'

BACA LAGI: JKNP nafi dakwaan kes bayi kembar hilang dilarikan doktor palsu di Hospital Kuala Lipis

 

 

 

 

"Pemandu itu memperlahankan kenderaan seketika, tetapi kemudian memecut dengan lebih laju, memaksa anggota kami melompat ke tepi jalan bagi mengelak dirempuh," katanya memetik laporan media antarabangsa.

Melalui video yang dikongsikan turut memaparkan ketika polis mengejar, suspek memandu laju di lorong bertentangan dan memotong beberapa kenderaan yang sedang menunggu di lintasan kereta api.

Dia kemudian merempuh pagar keselamatan dan melintasi landasan hanya beberapa saat sebelum tren tiba.

Salah satu palang besi menghentam cermin hadapan kenderaannya, namun suspek terus melarikan diri dengan palang itu masih melekat pada kereta.

Polis terpaksa menghentikan pengejaran bagi mengelak pelanggaran dengan tren, yang kemudiannya membrek kecemasan dan berhenti di persimpangan tersebut.

Difahamkan, pada ketika itu, polis menghadapi kesukaran mengesan suspek kerana kenderaan berkenaan masih didaftarkan atas pemilik terdahulu.

Namun pada 28 Januari 2021, suspek berjaya diberkas di daerah Wadowice dan ditahan di lokap.

Suspek kemudian didakwa di Pejabat Pendakwa Raya Daerah di Wieliczka atas beberapa pertuduhan, termasuk mencetuskan bahaya besar dalam lalu lintas darat, merosakkan harta awam, dan ingkar arahan polis.

Lesen memandu suspek turut dirampas.

Meskipun kejadian berlaku lima tahun lalu, video berkenaan kembali tular minggu ini selepas dimuat naik semula ke platform X (Twitter), mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

"Saya tertanya-tanya bagaimana jurutera akan dipaksa untuk mereka semula pintu gerbang bagi mengelakkan penjenayah daripada mencederakan diri mereka di masa hadapan," persoal @Username_Haoto. 

"Dia mungkin berjaya lari, jadi kira dia menanglah tu," ujar @jason18986 yang meninggalkan komen sinis.

Kejadian itu bukan sahaja membuka semula perbincangan tentang keselamatan di lintasan kereta api, malah menimbulkan persoalan lebih besar tetapi sejauh mana  tahap keselamatan pagar landasan kereta api tersebut mencegah kejadian sebegini daripada berulang.  — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram