
NIAT seorang lelaki berusia 57 tahun untuk meletakkan keretanya di tempat parkir bertukar cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dan merempuh dinding sebuah bank di Tanjong Karang, Selangor pada Jumaat.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 8.50 malam itu dipercayai berpunca selepas pemandu berkenaan secara tidak sengaja menekan pedal minyak semasa cuba memarkir kenderaan jenis Toyota Innova itu di hadapan premis tersebut.
Akibatnya, kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum meluru ke arah bangunan dan merempuh bahagian dinding bank tersebut.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin memaklumkan, pemandu hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan dan lutut, dan menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial menunjukkan keadaan di lokasi ekoran kemalangan yang berlaku dengan ramai dilihat berkumpul di tempat kejadian.
Polis turut meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau memiliki maklumat lanjut supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau tampil ke balai polis berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram