
SEKURANG-KURANGNYA enam terkorban apabila sebuah helikopter terhempas ke dalam Sungai Hudson berhampiran West Side Highway dan Spring Street di Manhattan, Amerika Syarikat lewat petang Khamis.
Kejadian tragis itu turut menyaksikan empat mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital di New Jersey untuk rawatan lanjut.
Menurut laporan agensi berita Associated Press (AP), punca insiden masih belum dapat dikenal pasti. Namun, pasukan penyelamat dari unit kecemasan darat dan marin dikerah segera ke lokasi sejurus menerima laporan mengenai nahas tersebut.
BACA LAGI: Bayi lelaki 5 bulan dilaporkan meninggal dunia bawah jagaan pengasuh di Kangkar Pulai
BACA LAGI: 'Luka itu masih membekas', anak yatim kekal trauma dibuli ketika sekolah rendah
Hudson River Helicopter crash @WSJ @FoxNews @ABC @zerohedge @NY1 pic.twitter.com/QtTpGut1un
— cardo (@card0312) April 10, 2025
Rakaman video dan gambar yang tular di media sosial memaparkan detik cemas helikopter itu terhempas, dengan bangkai pesawat dilihat sebahagiannya tenggelam di dalam Sungai Hudson.
Beberapa bot polis mengelilingi lokasi kejadian manakala anggota keselamatan turut dilihat memantau dari jambatan berhampiran.
Maklumat daripada laman penjejakan penerbangan, FlightRadar, menunjukkan helikopter berkenaan hanya berada di udara selama 15 minit sebelum hilang kawalan dan menjunam ke dalam sungai.
Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis New York (NYPD) memaklumkan disebabkan nahas helikopter di kawasan West Side Highway dan Spring Street, orang awam dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kehadiran kenderaan kecemasan dan kemungkinan kelewatan trafik.
JUST IN: Helicopter crashes into Hudson River; no word on injuriespic.twitter.com/a5NsjAIrdD
— BNO News Live (@BNODesk) April 10, 2025
Ruang udara Manhattan sememangnya sibuk dengan laluan helikopter dan pesawat ringan merangkumi penerbangan komersial, pelancongan, dan urusan korporat.
Beberapa pad pendaratan helikopter tersedia di bandar raya itu bagi memudahkan pergerakan eksekutif dan pelancong.
Insiden berkenaan menambah satu lagi kepada senarai panjang kemalangan udara di Amerika Syarikat yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Tragedi seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Pada 2009, sembilan orang maut dalam pelanggaran antara sebuah pesawat kecil dan helikopter pelancong di Sungai Hudson. Sembilan tahun kemudian, sebuah helikopter sewa khas dengan konsep 'pintu terbuka' pula terhempas ke dalam Sungai East, meragut lima nyawa.
Pihak berkuasa kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas terbaharu ini, termasuk kemungkinan faktor teknikal atau kesilapan manusia.
Identiti mangsa masih belum didedahkan setakat laporan ini ditulis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram