
SEPASANG suami isteri berdepan nasib malang selepas menjadi mangsa ragut seorang penunggang motosikal yang berpura-pura terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan mereka dalam kejadian di Setia Alam, Selangor pada Khamis.
Dalam insiden tersebut, pasangan itu pada awalnya keluar daripada kereta mereka untuk memeriksa bahagian hadapan kenderaan terbabit yang dipercayai dilanggar suspek.
Bagaimanapun, ketika suaminya sedang mencangkung dan melihat kerosakan yang berlaku, suspek yang masih berada di atas motosikalnya dilihat bergerak di belakang mangsa sebelum meragut rantai dipakai lelaki berkenaan sebelum bergegas meninggalkan lokasi.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
"Dia berpura-pura melanggar kenderaan kami. Ketika itu kami memang percaya ia benar-benar berlaku dan mahu melihat kerosakan yang berlaku.
"Kami langsung tak terfikir banyak dan tak mampu memberikan sebarang reaksi ketika kejadian itu berlaku.
"Kami bernasib baik kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan," tulis mangsa yang memuat naik video kejadian tersebut di Facebooknya, Ni An.
Menurut wanita tersebut, mereka ketika itu baru sahaja keluar dari berbelanja di kedai serbaneka di lokasi terbabit.
Insiden berkenaan dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan milik mangsa.
Dalam pada itu, wanita terbabit memaklumkan dia dan suaminya sudah melakukan laporan polis berhubung kejadian tersebut.
"Kami berkongsikan video ini supaya orang ramai lebih berhati-hati dan peka," kongsinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, pihaknya menerima laporan dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, setelah rantai lehernya diragut di hadapan sebuah kedai serbaneka di Setia Alam pada Khamis.
Kejadian berlaku selepas mangsa bersama isteri selesai membeli barang di premis perniagaan dan mereka ditegur oleh seorang lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna merah.
"Suspek menyatakan terlanggar bahagian hadapan kenderaan mangsa sehingga mengalami kerosakan.
"Mangsa kemudiannya terus membuat pemeriksaan pada keretanya dan semasa pemeriksaan sedang dijalankan, tiba-tiba lelaki tersebut telah bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri.
"Mangsa yang merupakan seorang peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian yang dialaminya akibat kejadian itu lebih kurang RM11,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau lagi, pihak polis masih dalam usaha mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram