[VIDEO] Bapa tunggal mengaku tak bersalah samun wanita di 2 lokasi berbeza dekat Kulai


SEORANG lelaki didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kulai, Johor atas pertuduhan merompak dua wanita dalam kejadian berasingan di Kulai, minggu lalu.

Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan dua hakim berasingan pada Jumaat.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa merompak seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun dengan mengambil beg tangan, pasport Indonesia, telefon bimbit, cincin, gelang tangan serta dompet bersaiz kecil dan sederhana.

BACA LAGI: Bayi lelaki 5 bulan dilaporkan meninggal dunia bawah jagaan pengasuh di Kangkar Pulai

BACA LAGI: Ada 15 rekod lampau, suspek berparang samun wanita sekitar Kulai akhirnya dicekup

Dalam kejadian itu, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di lorong belakang sebuah kedai di sepanjang Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai, kira-kira pukul 8.30 pagi pada 4 April lalu.

 

 

 

 

Berikutan itu, tertuduh didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Thalha Bachok Embok Mok mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Abdur Razzaq didakwa merompak seorang wanita tempatan berusia 37 tahun, melibatkan beg silang, dua kad pengenalan, kad ATM, telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM200.

Dalam kejadian tersebut, tertuduh didakwa menimbulkan ketakutan terhadap mangsa dengan ancaman kecederaan.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai, kira-kira pukul 8.45 pagi pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dan RM10,000 dengan syarat tambahan.

Antara syarat yang dikenakan termasuk melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan pada 13 Mei depan bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam oleh tertuduh.

Pendakwaan bagi kes pertama dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan manakala kes kedua oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin. — The Star/ MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram