
SEBANYAK 39 orang daripada keseluruhan 150 mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dekat Subang Jaya, Selangor Selasa lepas masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 17 mangsa dirawat di hospital kerajaan manakala 22 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan seorang lelaki berusia 21 tahun.
"Mangsa yang dirawat di ICU hospital swasta melecur sebanyak 21 peratus pada tahap separa ketebalan dan ketebalan penuh di seluruh anggota badan, muka, leher dan belakang badan, dengan sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ," menurut data harian yang dikeluarkan oleh KKM pada Selasa.
BACA LAGI : Tragedi Putra Heights: 5 kenderaan disediakan hantar anak-anak mangsa ke sekolah
BACA LAGI : [VIDEO] Api marak menjulang sampai langit, saluran paip gas bocor punca kebakaran di Putra Heights
KKM memaklumkan terdapat 12 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing seorang di Hospital Sultan Idris Shah dekat Serdang, Hospital Ampang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah dekat Klang, Selangor.
Selain itu, aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 112 individu menerima intervensi MHPSS.
Antara intervensi yang dilaksanakan adalah relaksasi, ekspresi seni dan kemahiran asas bantuan awal psikologi (PFA). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram