[VIDEO] Polis buru 3 suspek lelaki ragut wanita dekat 2 lokasi berbeza di Segamat


  • 112
  • Ahad, 06 Apr 2025

Tangkap layar CCTV memaparkan kejadian ragut di sebuah lokasi di Segamat, Johor baru-baru ini.

POLIS sedang mengesan tiga lelaki yang melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita di dua lokasi berasingan, di Segamat, Johor pada Khamis lalu.

Kejadian pertama berlaku di Taman Astakajaya 1, Buloh Kasap, manakala satu lagi kejadian tidak dipastikan lokasinya namun dipercayai di Taman Sejati, Segamat.

Menerusi rakaman video sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang kedua, suspek meragut seorang wanita yang ketika itu berada di luar rumah dengan merentap rantai leher dipakai mangsa sebelum beredar menaiki sebuah motosikal.

BACA LAGI: [VIDEO] Kereta dinaiki 3 beradik terbalik dihimpit MPV di Lebuhraya PLUS, katanya seorang kritikal di ICU

BACA LAGI:  [VIDEO] Rakaman dashcam mangsa tragedi LPT tular, ramai desak kerajaan perketat undang-undang syarat jadi pemandu lori

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian ragut itu.

Beliau berkata, hasil semakan polis mendapati satu daripada video kejadian terbabit berlaku di daerah ini manakala satu lagi tidak dipastikan lokasinya.

"Polis mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, wanita tempatan berhubung kejadian itu. Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7.08 petang di Taman Astakajaya 1.

"Ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali dengan menaiki dua motosikal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, seorang daripada suspek turun dari motosikal lalu merentap rantai emas dipakai mangsa, menyebabkan mangsa cedera selepas terjatuh dan kejadian itu dirakam CCTV di kawasan berhampiran.

"Ketika kejadian, suspek berbadan kurus berkulit sawo matang dengan memakai jaket hitam dan berseluar gelap.

"Selain itu, semua suspek memakai topi keledar dengan penutup gelap, menaiki dua motosikal jenis Kawasaki Ninja RR50 biru dan Yamaha Y15ZR berwarna hijau, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

"Justeru, polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian Hotline 07-9324222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram