Hasrat timang cahaya mata ke-2 berkecai, wanita sakit nak bersalin meninggal dunia dalam ambulans di Sungai Petani


  • 112
  • Khamis, 10 Apr 2025

Mayat wanita terbabit kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik HSB di Alor Setar untuk dibedah siasat pada Khamis. — Gambar hiasan

HASRAT sepasang suami isteri menerima kelahiran anak kedua berkecai apabila wanita terbabit meninggal dunia bersama kandungannya ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.57 petang Rabu daripada petugas zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu, suri rumah berusia 35 tahun itu dipercayai mengalami kesakitan hendak bersalin dengan suaminya kemudian menghubungi ambulan bagi mendapatkan bantuan.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

Difahamkan, wanita itu juga berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Wan Azharuddin berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki ambulan.

"Doktor sudah melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi dan disahkan bayi itu turut meninggal dunia di dalam kandungan.

"Hasil semakan yang dilakukan melalui temu bual suami mangsa juga mendapati, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan," katanya.

Wan Azharuddin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mayat si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.

Beliau berkata, mayat wanita terbabit kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat pada Khamis.

Kes berkenaan menurutnya, diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram