'Komplikasi selepas bersalin jarang berlaku kepada wanita', isteri Putera Harry derita preeklampsia sebaik melahirkan anak


  • Sihat
  • Rabu, 09 Apr 2025

Meghan Markle mendedahkan pernah menghadapi komplikasi perubatan berkaitan dengan kehamilan.

ISTERI kepada Putera Harry, Meghan Markle dalam episod pertama podcast terbaharunya berjudul 'Confessions Of A Female Founder' mendedahkan bahawa beliau pernah mengalami komplikasi kesihatan serius berkait kehamilan.

Dalam episod sulung itu, Meghan menjemput pengasas aplikasi janji temu Bumble, Whitney Wolfe Herd dan berkongsi pengalaman mereka yang hampir serupa berkaitan kesihatan selepas bersalin. 

Kedua-duanya pernah mengalami keadaan jarang berlaku dikenali sebagai preeklampsia selepas bersalin atau postpartum preeclampsia.

BACA LAGI: Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh

BACA LAGI: Tangas moden 'rahsia' sihat Tyra semasa hamil, tempoh berpantang, mudah disediakan 15 minit saja!

"Ia sangat jarang dan menakutkan," kata bekas pelakon yang kini aktif sebagai pengeluar kandungan gaya hidup inspirasi itu.

Menurut Klinik Mayo, postpartum preeclampsia ialah keadaan berbahaya yang berlaku apabila seseorang ibu mengalami tekanan darah tinggi serta kehadiran protein berlebihan dalam air kencing selepas melahirkan anak.

"Pada masa itu, anda masih cuba untuk mengimbangi segalanya, dan dunia tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam diam.

"Dan dalam kesunyian itu, anda tetap cuba untuk hadir terutamanya untuk anak-anak tetapi semua itu adalah ketakutan besar dari sudut perubatan," ujar Meghan lagi.

Meghan dan Harry kini mempunyai dua orang cahaya mata, Archie, 5, dan Lily, 3.

Podcast Confessions Of A Female Founder merupakan sebahagian daripada transformasi kerjaya Meghan ke arah menjadi penerbit kandungan gaya hidup yang memberi inspirasi. 

Pada Mac lepas, beliau melancarkan sebuah siri masakan di platform Netflix dan turut memperkenalkan rangkaian produk berkaitan gaya hidup seperti peralatan yoga, buku masakan serta barangan hiasan rumah di bawah jenama As Ever.

Pada 2020, Meghan dan Harry berundur sebagai kerabat diraja yang bekerja dan berpindah ke California.

Mereka dilaporkan semakin renggang dengan kerabat diraja sejak pemindahan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram