
DUA anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri, Kuching pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan sepasukan pada 24 Mac lalu.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat secara bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara pukul 2.15 pagi hingga pukul 3.05 pagi hari kejadian.
BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis
BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.
Kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian sukan hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. — Gambar hiasan
Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet kemudian memohon penetapan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.
Ashok membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Dalam pertuduhan tersebut, tertuduh kedua diwakili peguam Ranbir Singh dan tertuduh pertama tidak diwakili peguam.
Pada 24 Mac lalu, mangsa dilapor sedang ditidur sebelum dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun, sebelum dibenarkan makan, dia diminta melakukan ‘commando rest’ dengan meletakkan kepala ke lantai dan tangan di belakang selama dua minit, diikuti 20 kali tekan tubi.
Selepas selesai, mangsa kemudian dilaporkan berdiri sebelum terus pitam.
Ekoran daripada insiden tersebut, mangsa dihantar ke Hospital Miri, sebelum doktor mengesahkan kematian mangsa pada pukul 3.05 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram