Mohon ikat jamin dikurangkan sebab tanggung 2 anak, askar tumbuk pemandu wanita minta dibicarakan


Video tular memaparkan Abdul Hafiz Abu Bakar (baju merah) menumbuk seorang pemandu wanita di Senawang minggu lalu.

SEORANG anggota askar didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin atas pertuduhan menumbuk seorang pemandu wanita minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menumbuk di kepala seorang wanita berusia 28 tahun yang memandu Perodua Axia kira-kira pukul 10.20 malam di Taman Satria dekat Senawang, Negeri Sembilan pada 29 Mac lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Seremban tahan anggota tentera tumbuk pemandu wanita tak sengaja langgar anak, isteri

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, memohon agar mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM2,000 terhadap tertuduh.

 

 

 

 

Bagaimanapun, peguam dari Jabatan Bantuan Guaman, Chrysandy Lai, yang mewakili tertuduh, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai pekerjaan tetap dan bukan berisiko melarikan diri.

“Anak guam saya juga merupakan penyumbang utama kepada keluarga. Beliau menanggung dua orang anak yang masih kecil serta ibu bapanya,” katanya.

Majistret Syed Farid Syed Ali kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, insiden berlaku apabila pemandu wanita yang memandu sebuah kereta jenis sedan gagal mengelak isteri tertuduh berusia 34 tahun dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun yang secara tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan ringan.

Kejadian itu mengakibatkan lelaki berkenaan didakwa bertindak menyerang mangsa hingga menyebabkan lebam pada rusuk kanan dan bengkak di belakang kepala wanita tersebut.

Satu rakaman video berdurasi 22 saat yang memaparkan tindakan agresif tertuduh terhadap mangsa telah tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram