[VIDEO] Tular trik cubaan rompak dengan potong bekalan elektrik, polis buru 2 lelaki terbabit samun berparang di Puncak Alam


  • 112
  • Selasa, 08 Apr 2025

Tangkap layar CCTV memaparkan kejadian cubaan merompak di sebuah rumah di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

POLIS kini memburu dua disyaki terlibat dalam cuba menyamun dengan menggunakan parang di dua rumah di Jalan Alam Suria, Seksyen 16, Puncak Alam, Sungai Buloh, Selangor, pada Ahad.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian sama di kawasan berkenaan.

BACA LAGI: Siasatan insiden 'Abang Belon' di fasa akhir, DBKL enggan ganggu siasatan polis

BACA LAGI: ‘Kerja dapur bukan untuk perempuan saja’, majoriti sokong ibu bapa didik anak lelaki bantu sekali

"Berdasarkan laporan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun mendakwa melihat kelibat dua lelaki memakai pelitup muka dan bersenjata parang berada di belakang rumahnya kira-kira pukul 11 malam.

"Suspek bertindak mengacukan parang ke arah pengadu dan isteri menyebabkan isterinya menjerit meminta tolong sebelum kedua-dua suspek melarikan diri," katanya.

Bertindak atas laporan itu, Mohd Hafiz berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tampil memberikan kerjasama bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan melalui Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Terdahulu, tular pada Isnin satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dikongsikan pengguna akaun Facebook, Khairul Ezuwan mengenai satu cubaan rompakan di sebuah kediaman di Puncak Alam.

Menerusi klip terbabit, perompak terbabit dipercayai bertindak memotong bekalan elektrik rumah mangsa sebagai taktik untuk memancing penghuni keluar.

Bagaimanapun, cubaan rompakan tersebut gagal kerana pemilik rumah sempat meninjau keluar melalui cermin dan melihat kelibat penyamun yang berparang menunggu di hadapan pintu kediaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram