
KANAK-KANAK perempuan berusia 12 tahun mengalami kecederaan selepas menjadi mangsa ragut di sebuah pangsapuri di Presint 11, Putrajaya pada Rabu lepas.
Kejadian berlaku apabila seorang lelaki yang tidak dikenali mengetuk pintu rumah mangsa dan berpura-pura bertanyakan tentang bekalan air.
Timbalan Ketua Polis Putrajaya, Superintendan Azari Miskon berkata, suspek meminta mangsa menyambungkan paip getah ke bilik air dan mengisi air ke dalam tong yang dibawanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut perut terburai gara-gara serbuk mercun meletup lepas motor rempuh basikal
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet hilang simpati terhadap penjual tanpa lesen
Namun, apabila mangsa menyerahkan tong tersebut, suspek bertindak menarik rambut mangsa sebelum meragut rantai emas yang dipakai mangsa.
“Bapa mangsa yang berada di pejabat di Kuala Lumpur menyaksikan kejadian itu secara langsung melalui aplikasi televisyen litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya,” katanya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mengenakan jaket hijau, seluar gelap, bertopi hitam dan pelitup muka sehingga menyukarkan pengecaman identitinya.
Superintendan Azari turut memaklumkan bahawa nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM5,530 dan pihak polis kini giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram