[VIDEO] Pilu ditimpa bencana kimia, penduduk Putra Heights curiga, bimbang sebelum kejadian letupan paip gas


  • Massa
  • Sabtu, 05 Apr 2025

Kebocoran pada saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya dipercayai menjadi punca kepada letupan yang berlaku pada pukul 8.10 pagi. — Facebook/Perdana Menteri Anwar Ibrahim

SEORANG penduduk Putra Heights meluahkan kebimbangan terhadap kerja-kerja penggalian di tapak sebelum terjadinya kebakaran besar melibatkan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Seorang pengamal keselamatan dan kesihatan, Jasbinder Singh, 53, yang menetap di Putra Avenue sejak lebih 15 tahun menyifatkan kejadian itu sebagai satu bencana kimia yang memberi kesan besar kepada komuniti.

“Saya nampak api dari balkoni dan terus tahu itu bukan kebakaran rumah. Saiznya terlalu besar. Bahangnya pula sangat kuat, terasa seperti duduk di bawah terik matahari yang membakar,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Hajat 'membuang' tepi jalan terbantut, pemandu lori cedera diserang harimau di Bukit Tangga

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura tanya bekalan air sebelum ragut rantai budak perempuan di Putrajaya

Tangkap layar video memaparkan api marak susulan kebocoran paip gas di Putra Heights.

Walaupun rumahnya terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, namun dia tetap bimbang rumahnya akan turut terbakar.

Dia segera mengosongkan rumah bersama isteri dan anak perempuannya dan berlindung di stesen LRT berhampiran.

“Saya tak sempat ambil apa-apa. Saya hanya tutup semua tingkap, cabut langsir dan terus keluar,” katanya.

Jasbinder memantau rumahnya dari jauh menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya pulang selepas enam jam untuk mengambil dokumen penting.

Tambahnya lagi, dia dan isteri pernah beberapa kali berbincang tentang kerja penggalian yang dijalankan berhampiran saluran paip tersebut, namun menganggap ia dikendalikan oleh kontraktor yang berkelayakan serta menyedari sepenuhnya risiko terlibat.

Berikutan kejadian itu, dia menggesa pihak Petronas untuk tampil memberi penjelasan kepada penduduk sekitar mengenai langkah keselamatan dan prosedur kecemasan.

“Kalau paip itu tidak boleh dialih, penduduk berhak tahu apa yang berlaku dan bagaimana insiden ini boleh dielakkan. Kami perlukan ketenangan dan jaminan keselamatan,” katanya lagi.

Tambahnya, pelan pemindahan yang jelas dan terancang amat penting untuk menghadapi sebarang kecemasan di masa hadapan.

Letupan dan kebakaran paip gas yang berlaku pada pagi Selasa sekitar pukul 8.10 pagi itu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Api hanya berjaya dipadamkan sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.

Insiden tragis ini menyebabkan 87 buah rumah musnah sepenuhnya, manakala 148 rumah lagi mengalami kerosakan tetapi masih selamat diduduki selepas kerja pembaikan dijalankan.

Lebih 300 penduduk kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.

Namun begitu, tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam tragedi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram