
PENDEDAHAN mengejutkan seorang ibu mengenai kejadian buli yang didakwa menimpa anaknya di sebuah sekolah rendah di Perlis baru-baru ini mendatangkan kemarahan dalam kalangan warga maya.
Lebih parah, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Nadeem Rizqi, 7, dipercayai ditolak rakan sebayanya hingga mendatangkan kecederaan serius pada bahagian alat sulitnya.
Menerusi perkongsian di Facebook Ayu Wd, wanita tersebut mendakwa, insiden itu berlaku pada 6 Mac lalu ketika Nadeem Rizqi dalam perjalanan ke kelas selepas makan di kantin pada waktu rehat.
Kanak-kanak berkenaan dipercayai dimasukkan ke hospital selama lapan hari. — Facebbok/Ayu WD
Menurutnya, tolakan dari arah belakang didakwa menyebabkan anaknya jatuh dalam keadaan tersembam dengan bunyi hentakan yang kuat.
"Anak saya diam tidak ceritakan kepada mana-mana cikgu. Ketika kejadian ada kawan-kawan sekelas dia datang membantu.
"Ketika saya jemput pulang sekolah, baru dia cerita kawan dia tolak sampai zakar berdarah.
"Saya sangat terkejut dan terus bawa anak dapatkan pemeriksaan lanjut," katanya menambah bahawa kanak-kanak yang menolak anaknya sudah pun membuat pengakuan kepada guru.
Susulan kejadian tersebut, ibu bapa Nadeem Rizqi difahamkan telah mengambil langkah sewajarnya dengan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Insiden buli itu didakwa berlaku tidak sampai tiga minggu selepas budak lelaki tersebut mendaftar di sekolah berkenaan.
"Pedih dan luluh hati seorang ibu, aku jaga dia elok-elok dari kecil, tak habis tiga minggu sekolah dah ada yang membuli.
"Kalau berterusan biar, esok bila besar kau jadi pembuli dik. Ibu bapa budak yang tolak anak aku itu tiada empati. Buka mata dan tengok luas-luas sakit yang anak aku alami," ujarnya.
Difahamkan, Nadeem Rizqi yang dimasukkan ke wad selama lapan hari kemudian dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah bagi mendapatkan rawatan lanjut untuk mengatasi trauma dialaminya.
Ibu bapa kanak-kanak itu juga memutuskan untuk menukarkan sekolah anak mereka demi mencari persekitaran lebih selamat dan positif bagi pemulihannya.
Ibu Nadeem Rizqi berkongsikan keadaan ketika anaknya dimasukkan ke wad baru-baru ini. — Facebbok/Ayu WD
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ibu bapa menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kes buli yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar sekolah.
"Semoga dipermudahkan urusan dan cepat sembuh untuk anak. Sebaya anak saya, betapa risaunya tiap hari pesan dekat anak tapi anak orang tidak tahulah kan.
"Semoga ada keadilan untuk anak awak," tulis Syarifah Al-Jamalulail.
"Tolong ambil tindakan kalau perkara macam ini jadi. Ini dah serius. Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah rendah memang ada. Kadang guru pun kena main peranan di sekolah," tegas Arianna Sam.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram