Wartawan India cuba bongkar penyelewengan dana RM62.8 juta mati tragis, diseksa sebelum dihumban dalam tangki najis


  • Benua
  • Khamis, 09 Jan 2025

Mendiang Mukesh (kiri) difahamkan didera berdasarkan kecederaan dikesan ketika proses bedah siasat sebelum mayatnya dihumban ke dalam tangki najis.

USAHA wartawan dari India, Mukesh Chandrakar untuk membongkar kes penyelewengan dana berhubung sebuah projek di wilayah Bijapur, Karnataka menemui titik noktah selepas dia dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Lebih tragis lagi, mayat pegawai media berusia 28 itu ditemui orang ramai di dalam tangki najis dengan keadaannya amat memilukan kerana laporan bedah siasat mendapati mangsa mungkin didera sebelum kematiannya.

Ini selepas pihak forensik mendapati terdapat 15 kesan kecederaan di kepala dan tengkorak, tulang leher yang patah serta jantungnya dikeluarkan sebelum mayatnya dihumban ke dalam tangki dilitupi bongkah konkrit.

BACA LAGI: [VIDEO] Lapor 3 rakan setugas maut kemalangan di Gresik, 2 wartawan tahan sebak ketika liputan

BACA LAGI: Sanggup berhenti kerja wartawan, graduan sukan UiTM ubah sisa plastik jadi anting-anting bercirikan etnik Sabah

WhatsApp Image 2025-01-09 at 1.51.17 PM

Mayat mendiang Mukesh sebelum dikeluarkan daripada tangki najis.

Difahamkan, Mukesh sedang dalam usaha membongkar dakwaan berlakunya sogokan rasuah bernilai 1.2 bilion rupee (RM62.8 juta) bagi projek pembinaan jalan di Bijapur.

Penemuan mayat itu turut menimbulkan spekulasi bahawa ahli politik India, Suresh Chandrakar turut terlibat kerana dia sedang bertanding di kawasan tersebut.

Menyedari perkara berkenaan, polis mengambil keputusan menahan dua abang kepada wakil rakyat itu, Ritesh dan Dinesh Chandrakar serta seorang penyelia projek, Mahendra Ramteke bagi membantu siasatan.

Usaha kerajaan tempatan bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila mereka sudah menubuhkan pasukan siasatan khas (SIT) yang terdiri daripada 11 ahli bagi menyiasat kematian wartawan terbabit.

WhatsApp Image 2025-01-09 at 1.52.19 PM

Tiga individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Setakat ini, Timbalan Ketua Menteri Chhattisgarh, Vijay Sharma berkata, pihaknya akan mencuba sebaik mungkin untuk mengenal pasti punca dan fakta sebenar berhubung kes tersebut.

"Penderaan dialaminya sudah tentu amat menyiksakan. Pelaksanaan undang-undang di daerah ini masih terkawal, namun kisah di sebalik kematian wartawan tersebut masih perlu disiasat," katanya.

Sepanjang terlibat dalam bidang kewartawanan, mendiang Mukesh pernah membongkar pelbagai kes berprofil tinggi, termasuk memainkan peranan penting dalam usaha pembebasan pegawai polis tentera daripada gerakan pemberontak di Bijapur pada 2021.

Berdasarkan laporan terdahulu, dia yang turut dikenali di YouTube kerap membuat liputan berhubung pasukan pemberontak yang dikenali sebagai Naxals, namun memiliki hubungan baik dengan mereka.

Jadi, dengan reputasinya semakin dikenali, tidak mustahil jika kehadirannya membawa ancaman terhadap kegiatan penyelewengan dana yang dipercayai turut melibatkan ahli politik dan figura berpengaruh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram