
PENANG FC sepertinya boleh menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan yang lebih baik daripada musim lepas setelah memungut tiga mata dalam kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Sabtu.
Berbaki dua perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sri Pahang FC, skuad Hobin Jang Hobin pastinya tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan tiga mata untuk sekurang-kurangnya meletakkan mereka di tempat ketujuh liga pada penghujung musim.
Ia jelas merupakan kedudukan yang lebih baik jika dibandingkan dengan musim lepas apabila Harimau Kumbang menutup tahun 2023 di tempat ke-10 dan hanya meraih enam kemenangan daripada 26 perlawanan berlangsung.
BACA LAGI: Penalti minit akhir Rafael Vitor hadiahkan senyuman buat Harimau Kumbang
BACA LAGI: Gagal tembus gawang TFC babak pertama, fans Gergasi Merah bersorak saat Ronnie tinggalkan padang
Perjalanan Penang FC musim ini dibantu dengan usaha dari barisan kejurulatihan dan semua pemain. Antara yang paling menyinar ialah ketua pasukan, Rafael Vitor berikutan menjadi watak utama Harimau Kumbang sejak musim 2020.
Musim ini Vitor bermain dalam 23 perlawanan domestik termasuk 18 aksi Liga Super. Dia yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu juga menyumbang empat jaringan gol dalam Liga Super 2024/2025.
Salah satu gol yang direkodkan adalah ketika aksi menentang NSFC apabila pemain berusia 32 tahun itu menyempurkan sepakan penalti untuk memberi kemenangan kelima buat Harimau Kumbang pada musim ini.
Sumbangan yang diberikan Vitor dalam tempoh lima tahun bersama Penang juga nampaknya akan disalurkan kepada Harimau Malaya selepas dilaporkan sedang dalam proses untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia, sekali gus mencerahkan peluang mewakili skuad kebangsaan.
Memetik laporan Stadium Astro, Vitor berjanji akan melakukan yang terbaik jika dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan Malaysia yang kini di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski.
Bukan itu sahaja, impian pemain kelahiran Brazil itu untuk mewakili Harimau Malaya juga dibantu oleh dua pemain Harimau Malaya iaitu tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick Dos Santos dan kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue.
Vitor merupakan ketua pasukan Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC
"Saya bercakap dengan mereka dengan Paulo dan Endrick, mereka membantu saya. Jika saya dapat peluang untuk sertai pasukan kebangsaan semestinya saya akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia.
"Dalam proses (kad pengenalan), mungkin dua minggu atau lebih lagi. Saya sudah lima tahun, saya dapat sokongan Penang, keluarga saya juga gembira di Penang," kongsi pemain tinggi lampai itu.
Jika proses naturalisasi Vitor berjalan dengan lancar, dia akan digandingkan dengan seorang lagi pemain warisan baharu iaitu Jon Irazabal. Kehadiran dua bek itu bersama skuad kebangsaan dijangka akan memperkuatkan lagi bahagian pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram