'Kalau niat hanya duit, kualiti akan jatuh', songkok buatan tangan terus pikat hati pelanggan


  • Bizz
  • Isnin, 07 Apr 2025

Mustafa mewarisi bakat dan perniagaan pembuatan songkok daripada bapanya Maarof Mohd Syarif sejak berusia 12 tahun.

DI sebalik pelbagai jenis songkok moden muncul di pasaran, songkok tradisional buatan tangan masih terus utuh dan mendapat tempat di hati pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bagi pengusaha songkok warisan generasi kedua, Mustafa Maarof, 57, permintaan terhadap songkok buatan tangan terus kukuh, malah meningkat ketika musim perayaan hari raya.

Malah, pemilik kepada M Djohan Songkok yang beroperasi di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur terpaksa menutup tempahan agak awal ketika bulan puasa.

BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online

BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis

"Biasa satu hari saya boleh siapkan dalam 20 songkok. Untuk tahun ini saya terima kira-kira 1,000 tempahan songkok untuk raya," katanya yang turut dibantu oleh seorang pekerja tetap dan dua orang pekerja sambilan.

Pada tahun ini, beliau turut membekalkan kira-kira 10,000 unit songkok termasuk kepada pasar raya dan bazar Ramadan.

Mustafa menyiapkan songkok tempahan pelanggan.

Untuk rekod, Mustafa mewarisi bakat dan perniagaan pembuatan songkok daripada bapanya Maarof Mohd Syarif sejak berusia 12 tahun yang mana beliau bermula dengan membantu bapanya membuat songkok.

Selepas bapanya meninggal dunia, beliau terus mengambil alih perniagaan itu dan sehingga kini masih berniaga di tapak asal kedai bapanya yang terletak berhampiran tapak lama Pasar Datuk Keramat.

Mustafa berkata, antara jenis songkok mendapat permintaan hebat kali ini ialah songkok yang biasa digayakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, berbanding songkok biasa, songkok jenis tersebut memiliki ketinggian yang agak rendah iaitu sekitar 3 inci atau 7.62 sentimeter.

Dalam pada itu, Mustafa mengakui bahawa kerja-kerja pembuatan songkok memerlukan ketelitian yang agak tinggi.

Ujarnya, sebarang kesilapan sewaktu proses menjahit boleh menyebabkan pemakai berasa tidak selesa dan seterusnya memberikan kesan kepada penampilan mereka.

Proses menyiapkan songkok buatan tangan memerlukan ketelitian yang tinggi.

“Antara bahagian susah dijahit adalah ketika hendak mencantumkan bahagian bumbung dan dinding dalam songkok itu.

"Kalau tersilap, songkok akan jadi senget dan pemakai akan rasa kurang selesa," kata Mustafa.

Di sebalik cabaran tersebut, Mustafa berkata, beliau sama sekali tidak berkompromi dalam soal kualiti songkok yang dikeluarkan di kedainya.

"Kualiti sangat penting. Kalau songkok tak berkualiti, orang takkan datang balik.

"Yang membezakan songkok buatan tangan dengan yang biasa tu — satu, hasil kerja tangan. Kedua, niat hati. Kalau niat hanya nak duit, kualiti tu akan jatuh.

"Tapi kalau buat dengan hati, orang akan puas dan akan datang balik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram