
SEORANG remaja berusia 18 tahun dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, Melaka pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Nurin Wardina Hairi, disedari hilang oleh ibunya pada pukul 5.30 petang selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah.
Beliau berkata, ibu mangsa melihat anaknya keluar rumah untuk bermain di taman permainan berhampiran sekitar pukul 3 petang.
BACA LAGI: Isteri Ali XPDC meninggal dunia akibat kanser payudara
BACA LAGI: Sempat balas 'i love you', suami pergi selamanya, suasana raya ibu tunggal tidak lagi sama
Nurin Wardina kali terakhir dilihat masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa. — Facebook
Katanya, gadis itu juga enggan mengikut ibunya menghantar kakaknya ke tempat kerja di Tanjung Minyak.
"Namun, apabila pulang ke rumah, wanita itu mendapati anaknya tiada dan meminta suaminya mencarinya di kawasan taman permainan tetapi masih tidak menjumpainya.
"Mereka kemudian mendapatkan bantuan penduduk taman untuk turut sama mencari anak mereka.
"Sebelum mangsa keluar rumah, pengadu bagaimanapun melihat sebuah kereta Perodua Kelisa warna perak diparkir berhampiran dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, pengadu namun hanya menganggap ia milik pengunjung inap desa di sebelah rumahnya.
Christopher berkata, menurut seorang penduduk taman itu, gadis OKU tersebut dilihat masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa itu secara rela dan tidak menunjukkan sebarang tanda dipaksa sekali gus menyebabkan penduduk tersebut menyangka kenderaan itu milik saudara-mara mangsa.
"Ibunya memaklumkan anaknya itu mempunyai kebolehan bertutur yang sangat terhad dan hanya memahami perkataan-perkataan mudah.
"Dia juga sukar didekati serta tidak mempunyai kawan rapat.
"Menurut pengadu, anaknya sering ke taman permainan tersebut untuk bermain buaian dan sebelum ini tidak pernah gagal pulang ke rumah tepat pada waktunya," katanya.
Jelasnya, mangsa juga memiliki ketinggian kira-kira 145 sentimeter, bertubuh kurus, berkulit sawo matang serta berambut panjang paras bahu dan sedikit ikal dengan kali terakhir dia dilihat memakai baju T berwarna hijau dan seluar panjang hitam.
Pegawai penyiasat juga sudah ke lokasi kejadian dan berjaya mendapatkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pergerakan kereta Perodua Kelisa tersebut.
Katanya, usaha mengesan pemilik kenderaan dan mencari mangsa masih giat dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram