Sempat balas 'i love you', suami pergi selamanya, suasana raya ibu tunggal tidak lagi sama


  • Relaks
  • Ahad, 06 Apr 2025

Pemergian baik suami atau isteri akan menjentik kerinduan yang menebal dan tidak berpenghujung. — Gambar hiasan/Freepik

SAMBUTAN raya bagi setiap individu pasti tidak sama.

Begitu juga dengan wanita tabah bernama Rokiah Abdul Manan, ibu tunggal berusia 70 tahun yang tinggal di Perumahan Awam (PA) Seri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kebiasaannya, persiapan raya akan dilakukan beberapa minggu sebelum, namun bagi Rokiah momen itu sudah terkubur lama.

BACA LAGI: Food For Soul 2.0 ukir senyuman ibu tunggal, golongan asnaf di PPR Seri Kota

BACA LAGI: Bertukang dengan gergaji, tukul besi arwah ibu, Nani wanita kreatif di sebalik ‘House of Art’, Kuala Pilah

Rokiah menyifatkan rayanya tidak semeriah seperti ketika arwah suami masih hidup.

Ditanya tentang caranya menyambut raya kali ini, Rokiah berkata, 2025 merupakan tahun keduanya beraya tanpa suami di sisi.

Ibu kepada empat orang anak itu juga menjawab dengan nada kosong tika terkenang tiada lagi sosok tersayang bersama.

"Persiapan raya tahun ini biasa sahaja, kuih raya pun anak-anak beli. Tak buat apa pun.

"Cuma malam raya biasanya masak laksa, rendang dan nasi impit sahaja.

"Suami meninggal bulan Januari 2024, maknanya raya tahun ini (2025) dia tiada. Selalunya kalau arwah ada, dia suka belikan makanan," katanya kepada Majoriti.

Kehilangan itu sekali gus menjadikan bulan Ramadan dan Syawal kali ini terasa lebih sunyi, namun kenangan indah yang ditinggalkan suami tetap hidup dalam ingatannya.

Mengimbau kembali perbualan terakhir sebelum arwah suaminya menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahuh.

"Mak cik ingat lagi hari sebelum dia pergi. Petang itu anak telefon beritahu dia nak bercakap dengan saya.

"Masa itu arwah di hospital dan dengar bunyi dia cakap tak jelas. Rupanya arwah cakap i love you. Selepas itu, mak cik pun balas i love you juga.

"Tak sangka pukul 12 malam itu dia meninggal," katanya sambil menambah bahawa arwah suaminya hanya demam beberapa hari sebelum itu.

Rokiah yang juga kurang sihat dan tidak boleh berjalan seperti biasa hanya duduk di rumah seorang diri.

Katanya, raya kali ini juga semakin sunyi ditambah dengan kehilangan anak bongsunya Januari lepas.

Tiada lagi suami yang sentiasa mengingatkan apa yang perlu dilakukan untuk persiapan raya, tiada lagi tawa dan gelak tawa yang menemani waktu berbuka puasa.

Menurutnya, weskipun anak-anaknya sibuk dengan urusan masing-masing, namun mereka tetap melawatnya dan menghantar anak mereka untuk menemani Rokiah di rumah.

Di balik setiap persiapan raya yang sederhana, terselit makna mendalam hanya boleh difahami oleh mereka di dalam situasi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram