SDD langkah mempersiapkan bisnes tradisional Selangor hadapi era digital, AI


  • Bizz
  • Ahad, 30 Mac 2025

​​​​​​​Lian Cy di Chantek Batiki Kota Kemuning yang meneruskan legasi ibunya dan membawa perniagaannya ke peringkat seterusnya dengan AI.

PERNIAGAAN tradisional yang dipacu oleh keluarga sememangnya sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada aktiviti yang menghidupkan ekonomi sesebuah tempat di negara ini.

Malah, keunikan aktiviti perniagaan tersebut bergantung kepada tempat di mana mereka beroperasi.

Walaupun perniagaan terbabit  termasuk yang diusahakan selama bertahun-tahun mungkin telah berkembang tanpa bantuan internet pada masa lalu, generasi baharu mesti menyesuaikan diri jika mereka berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Menyedari keperluan tersebut, Kerajaan Selangor menjalankan program Selangor Desa Digital (SDD) pada tahun lalu untuk menyediakan platform kepada usahawan dari kampung dan pinggir bandar bagi mempelajari cara meningkatkan perniagaan secara digital.

Projek tersebut adalah kerjasama antara Kerajaan Selangor dan Sidec Sdn Bhd yang merupakan agensi kerajaan diberi mandat menerajui transformasi digital negeri itu.

SDD siri pertama yang berakhir Disember lalu, bertujuan merevolusi keusahawanan berasaskan kampung di Selangor dengan memanfaatkan ekosistem teknologi canggih Taiwan, sambil mengekalkan industri tradisional dalam era moden.

Inteview lee cocoa farm who participate in the selangor desa digital. 18 FEBRUARY 2025 —CHAN TAK KONG/The Star

Soon Cheong yang juga pengasas Koko Lee memantau proses pencairan coklat. 

Program itu, berakhir dengan lawatan selama seminggu ke Taiwan yang dijalankan terutamanya dalam bahasa Mandarin, menyaksikan 10 peserta mewakili pelbagai perniagaan di tanah air, daripada perusahaan tradisional yang mengalami transformasi kepada pemula baharu dalam sektor seperti terapi bunyi, pastri tradisional, kopi, produk buah-buahan dan batik.

Di sana, kumpulan itu menjalani latihan dan lawatan industri untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

StarMetro menemu bual tiga perniagaan yang mengambil bahagian, iaitu Root Plus, Lee's Cocoa dan Chantek Batik, untuk mengetahui bagaimana latihan itu membantu mereka.

Daripada koko kepada coklat

Pengasas Koko Lee, Lee Soon Cheong berkata, beliau mendapat banyak manfaat daripada program SDD meskipun pihaknya sudah mempunyai platform e-dagang.

“Bagaimanapun, program ini meluaskan perspektif saya tentang perkara lain yang boleh saya lakukan untuk perniagaan.

“Semasa bengkel di Taiwan, kami telah diperkenalkan dengan alat digital dan AI untuk menyokong operasi kami.

“Sebagai contoh, kami kini menggunakan beberapa teknologi untuk mereka bentuk pembungkusan dan memperhalusi logo kami.

"Melangkah ke hadapan, kami sedang mengkaji untuk menyesuaikan coklat dengan inti yang dibuat khusus," katanya.

Inteview lee cocoa farm who participate in the selangor desa digital. 18 FEBRUARY 2025 —CHAN TAK KONG/The Star

Kemudahan digital dan AI digunakan untuk mereka bentuk pembungkusan dan memperhalusi logo bagi produk coklat Lee's Cocoa.

Ladang Koko Soon Cheong di Kampung Batu Lapan, Tanjong Sepat, sebelum ini dikendalikan bapanya, yang menanam koko pada sekitar 1970-an.

Ladang itu telah ditukar menjadi ladang kelapa sawit apabila harga minyak sawit melonjak pada 1980-an.

Apabila Soon Cheong mewarisi ladang itu daripada bapanya pada 2012, beliau menghabiskan tempoh selama tujuh tahun untuk menanam semula pokok koko.

"Semasa bengkel di Taiwan, saya mengetahui bahawa petani koko di Kaohsiung terpaksa berdepan dengan taufan semasa menanam pokok koko," ujarnya.

Pada masa ini, ladang seluas 3.24 hektar itu mempunyai lebih 1,000 pokok koko, selain pokok kelapa yang memberi perlindungan memandangkan sifat tanaman koko yang agak sensitif dengan cahaya matahari.

Soon Cheong hanya menanam koko asal tunggal, yang dituai dua kali setahun untuk pengeluaran coklat.

Beliau kini sedang mempertimbangkan bagi menubuhkan pasukan pemasaran untuk mengukuhkan kehadiran digital perniagaan.

“Sebagai contoh, kami belum lagi menggunakan Xiao Hong Shu, rangkaian sosial China dan platform e-dagang.

“Kami juga sedang meninjau untuk memperluaskan lawatan ladang dan kilang supaya pengunjung dapat mengetahui proses menukar koko kepada coklat,” katanya.

Batik dan kemudahan digital

Sementara itu, Pengasas Chantek Batik, Lim Lian Cy menyifatkan pengalaman di bawah program SDD sebagai membuka mata.

“Kami telah diperkenalkan kepada tiga konsep utama: amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG); Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pensijilan B Corp, sesuatu yang tidak pernah kami pelajari sebelum ini.

To interview businesses for Selangor Desa Digital programme. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Lian Cy menunjukkan cetakan batik yang unik, sedang mempertimbangkan demonstrasi batik secara langsung untuk membina penglibatan.

"Hasilnya, persepsi saya terhadap perniagaan telah berubah, kerana terdapat banyak lagi cara untuk mewujudkan perusahaan yang mampan," katanya sambil menambah bahawa dia bersyukur kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian.

Chantek Batik adalah jenama tempatan di mana Lian Cy meneruskan legasi ibunya.

Ibunya mengusahakan kedai serbaneka di Pulau Kapas, Marang di Terengganu, dan belajar menjahit pakaian menggunakan kain batik pada 1990-an.

Menyedari potensi perniagaan berasaskan batik itu, ibu Lian Cy menubuhkan Eng Hong Long Batik Centre, menggunakan sebahagian daripada kedai serbaneka itu untuk perusahaan baharunya.

Bagaimanapun, kawasan yang mana kedai itu beroperasi kemudiannya ditransformasi bagi proses pembangunan.

Pada 2020, ketika Lian Cy kembali ke Terengganu untuk membeli kain batik dari tempat pelancongan terkenal, beliau mendapati kualitinya jauh berbeza berbanding dulu.

Beliau menyedari adanya perbezaan ketara dalam bahan digunakan, kerana batik di pasaran kebanyakannya adalah tekstil bercetak digital.

Lian Cy mendapati fabrik tersebut tidak menjalani kaedah pencelupan tahan lilin tradisional, namun ia masih dipasarkan sebagai buatan tangan.

Bagi Lian Cy, pakaian batik tulen hendaklah dibuat menggunakan kaedah pewarnaan tahan lilin tradisional.

Ekoran daripada pengalaman tersebut, beliau mengasaskan Chantek Batik dan bekerjasama dengan tukang dari Terengganu dan Kelantan untuk menghasilkan batik buatan tangan.

Lian Cy berkata, walaupun perniagaan itu yang berpangkalan di Kota Kemuning, Shah Alam, telah menggunakan platform digital termasuk e-dagang, masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengintegrasikan alatan digital.

“Semasa bengkel, kami telah diperkenalkan kepada pelbagai platform untuk meluaskan jangkauan pelanggan dan penggunaan AI dalam pelbagai aspek perniagaan.

"Sebagai contoh, kami sedang mempertimbangkan demonstrasi batik yang disiarkan secara langsung sebagai kaedah untuk melibatkan diri dengan khalayak lebih luas," katanya.

Ditanya bagaimana beliau akan menerapkan AI dalam operasinya, Lian Cy berkata, beliau akan menggunakannya terutama untuk penciptaan kandungan dan reka bentuk maklumat grafik.

Wong, berada di ladang Root Plus di Slim River, Perak.

“Pada masa ini, saya menggunakan platform dalam talian untuk mereka bentuk elemen tertentu bahan pembungkusan dan pemasaran kami.

“Ia membantu menangani cabaran mengupah seseorang yang khusus untuk peranan ini.

“Bagaimanapun, AI tidak dapat membantu dengan reka bentuk batik, kerana kami lebih suka mengekalkan keasliannya, menggunakan blok logam yang dihasilkan oleh tukang tempatan bagi motif batik kami.

“Semasa bengkel di Taiwan, kami juga ditunjukkan pemaparan 3D orang yang memakai pakaian berbeza untuk menunjukkan cara kedai Taiwan menggabungkan teknologi digital ke dalam perniagaan mereka.

“Tetapi saya rasa ia bukan sesuatu yang boleh saya pakai sekarang, mungkin pada masa hadapan,” katanya.

Akar teratai dan AI

Lee menunjukkan proses pengeringan biji koko. Beliau bercadang mengadakan lawatan ke ladang dan kilang di Tanjung Sepat, Selangor pada masa akan datang.

Pengasas Root Plus, Yuki Wong berkata, SDD menggalakkannya untuk menggunakan lebih banyak kemudahan AI bagi mencipta kandungan sebagai sebahagian daripada strategi pemasarannya.

“Memandangkan kami sangat bergantung kepada pekerja mahir untuk mengenal pasti dan menuai akar teratai dengan tangan, AI mungkin tidak sesuai untuk digabungkan dalam operasi perniagaan kami.

“Bagaimanapun, saya mendapati ia berguna dalam membantu kami mencipta kandungan lebih jelas dan menarik untuk menerangkan proses penuaian dan menyerlahkan faedah akar teratai.

"Sebelum ini, adalah sangat mencabar untuk menghasilkan kandungan sebegitu, terutamanya dalam pelbagai bahasa," katanya.

Root Plus yang berdaftar di Selangor, dimulakan pada 2012 oleh Wong dan suaminya.

Pasangan itu sebelum ini menguruskan sebuah restoran di England tetapi suami Wong kembali ke Malaysia pada 2010 dan memulakan projek menanam akar teratai.

Beliau bermula dengan memulihkan kawasan tasik dan persekitarannya di Slim River, Perak.

smart

 Wong berharap dapat menggunakan AI untuk menerangkan proses penuaian akar teratai kepada orang ramai.

Pada 2012, ketika Wong kembali ke Malaysia, pasangan itu menubuhkan Root Plus, bekerjasama dengan kilang pemprosesan mi untuk menukar akar teratai menjadi mi.

Wong merancang untuk menggunakan penceritaan video untuk mempamerkan proses penuaian akar teratai dan faedahnya.

“Saya kini sedang belajar cara merakam video produk kami dan merancang untuk memasukkannya ke dalam bahan pemasaran.

"Kami mahu ia menarik minat pengguna lebih muda dan memanfaatkan alat digital untuk melepaskan diri daripada model tradisional," kata Wong, sambil menambah bahawa mereka juga merancang mengembangkan barisan produk ditawarkan.

“Orang ramai sering mengaitkan akar teratai dengan sup, tetapi terdapat banyak cara lain untuk menggunakan ramuan tersebut.

"Kami sedang meneroka kemungkinan menghasilkan minuman dan kerepek akar teratai untuk menerokai pasaran lebih besar," katanya. — The Star/JAROD LIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram