Ibu gembira Muhammad Sufi semakin sihat selepas pembedahan implan tempurung kepala, pilih baju raya warna coklat


  • Berita
  • Ahad, 30 Mac 2025

Noraini Ishak (kiri) bersama anaknya Muhammad Sufi sebelum pembedahan memasang implan tempurung kepala.

TIADA lebih menggembirakan bagi seorang ibu selain melihat anak yang dahulu lemah dan bertarung dengan kesakitan kini semakin pulih selepas selamat menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat Alor Setar, Kedah pada 23 Mac lalu.

Bagi Noraini Ishak, setiap langkah kecil dan senyuman terukir walau dalam keletihan, bagaikan nyalaan kecil memberi sinar dalam kegelapan.

Meski belum pulih sepenuhnya, melihat anak lelakinya, Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, bangkit perlahan-lahan dari kejatuhan adalah rahmat paling besar dalam hidupnya.

BACA LAGI: 'Halalkan segalanya, moga ALLAH ampunkan dosa saya', fisioterapis akui gementar jalani pembedahan implan tempurung kepala

BACA LAGI: Jalani pembedahan implan kepala pada Mac, fisioterapis asal Kedah rancang buka kafe, produk lemak cili api

Hampir tiga minggu berada di hospital, hari demi hari, beliau melihat sendiri bagaimana anaknya berjuang melawan keterbatasan diri.

"Alhamdulillah, Sufi semakin sihat.

"Walaupun masih memerlukan banyak latihan fisioterapi dan perlu bantuan untuk buat kerja harian, tapi saya tetap bersyukur, dia dah boleh bergerak sendiri.

"Segak pun segak dengan tempurung kepala yang baharu. Sufi dah kacak macam sebelum kemalangan dulu," katanya sambil tertawa kecil ketika dihubungi Majoriti.

Noraini Ishak (kiri) bersama anaknya Muhammad Sufi sehari sebelum pembedahan memasang implan tempurung kepala di HSB Alor Setar, Kedah 23 Mac lalu.

Muhammad Sufi sebelum ini terlibat kemalangan selepas motosikalnya terbabas dalam kejadian di Tanah Merah dekat Jitra, Kedah pada Disember 2023 yang menyebabkannya mengalami kecederaan teruk pada kepala sehingga sebahagian tempurung kepala terpaksa dibuang akibat pendarahan otak serius.

Jelasnya lagi, kesihatan anak lelakinya itu juga semakin menunjukkan peningkatan.

"Baru-baru ini, dia sudah pergi mendapatkan cermin mata baharu kerana masalah saraf matanya terjejas akibat strok akibat kemalangan itu.

"Dari segi rawatan, fisioterapinya tamat pada 24 Mac lalu, sementara rawatan neurologi masih diteruskan sehingga Mei.

"Namun, doktor memberikan tanda positif, semakin jauh jarak temu janji, semakin baik tahap kesihatan Sufi. Saya selalu galakkan dia guna tangan kanan supaya dia boleh biasakan diri," katanya.

Persiapan Hari Raya Aidilfitri

Sufi terpaksa menjalani kehidupan dengan separuh tempurung kepalanya dibuang selepas kemalangan pada 2023.

Bagi warga emas berusia 71 tahun itu, persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidaklah seistimewa mana. Tidak banyak persiapan dilakukan, tiada juadah berlebihan hanya sekadar perlu.

Namun, melihat anaknya tersenyum ketika memilih baju raya berwarna coklat sudah cukup membuat hatinya lega.

"Saya tak kisah tentang persiapan raya. Cuma bila saya tengok dia gembira nak beli baju raya, saya pun rasa syukur.

"Tahun ini mungkin sederhana, tapi saya harap ia permulaan kepada kebahagiaan yang lebih besar untuk dia.

"Tahun ini nampak Sufi paling teruja nak sambut raya, tema baju pun dia pilih. Saya hanya ikut sahaja asalkan semua anak-anak mak cik gembira," katanya.

Doa buat anak

Di sebalik harapan itu, terselit satu lagi doa yang sering terlintas di benak seorang ibu.

"Saya tahu, saya tak akan ada selama-lamanya untuk menjaganya.

"Sebab itu, saya berdoa semoga satu hari nanti dia bertemu jodoh, ada isteri yang boleh menjaga.

"Saya mahu ada seseorang yang boleh ambil alih tugas saya. Itu yang saya risaukan," katanya dengan nada yang sedikit sebak.

Sufi ketika bertugas sebagai ahli fisioterapi di sebuah hospital kerajaan.

Pada masa sama, Noraini turut berharap agar anaknya yang bekerja sebagai ahli fisioterapi akan kembali bekerja pada masa depan.

Ujarnya lagi, bagi seorang ibu, tiada lebih menggembirakan selain melihat anaknya bangkit dari kejatuhan, berjuang untuk dirinya sendiri dan kembali mengejar impian yang pernah terhenti.

Saya harap Sufi boleh sembuh sekurang-kurangnya 90 peratus dan kembali bekerja.

"Apabila bekerja, dia akan ada kehidupan sosial lebih baik, boleh jumpa kawan-kawan dan itu mungkin membantu dalam proses pemulihannya.

"Insya-ALLAH, dalam masa terdekat ini, dia akan bertemu dengan pihak majikan untuk bincang tentang kemungkinan dia kembali bekerja," katanya lagi.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan Muhammad Sufi menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan memasang implan tempurung kepalanya.

Nasib Muhammad Sufi kemudian mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk menampung kos rawatannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram