[VIDEO] 'Makin biadab', lepas kes tarik kaki jemaah, tular budak lelaki selamba makan, buat kecoh dalam surau di Kluang


  • Tular
  • Khamis, 27 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan tindakan beberapa remaja lelaki yang sedang bermain dalam surau di Kluang, Johor.

BELUM reda kejadian remaja bergurau kasar dengan menarik kaki seorang jemaah sedang solat di sebuah masjid sebelum ini, muncul pula isu seakan-akan serupa baru-baru ini. 

Menerusi video dikongsikan pengguna Facebook Kluang Hari Ini (KHI) pada Khamis, kelihatan beberapa remaja lelaki sedang bermain dan membuat bising di dalam Surau Kampung Baru, Jalan Paloh, Kluang, Johor. 

Video tersebut juga memaparkan tindakan seorang daripada mereka tidak berpuasa dan secara sengaja makan serta minum di dalam surau itu. 

BACA LAGI: [VIDEO] Bergurau tak kena tempat, remaja tarik kaki jemaah sedang sujud sampai tersungkur

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sepatutnya tahun pertama raya sebagai suami isteri', adik sayu kongsi sikap kakak sebelum maut kemalangan di Sik

Tidak hanya itu, mereka turut dilihat bergurau dengan menggunakan kata-kata kesat, berkejaran dan menyiram air ke dalam ruangan solat surau sambil.

Rakaman tersebut secara tidak langsung mengundang kemarahan dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet. 

"Terlalu banyak ikut konten merapu, sebab itu akhlak semakin teruk," komen Yunus Maidin.

"Sangat mengecewakan dengan perangai budak-budak ini. Biadab, macam-macam hal mereka buat di surau dan masjid. Harap ibu bapa, pihak berwajib segera tangani masalah tersebut," tambah Rahmat Tolijan

Susulan itu, rata-ratanya menggesa pengurusan surau terbabit membuat laporan polis berhubung perkara tersebut. 

Hal itu juga dibimbangi akan menjadi ikutan ramai kanak-kanak lain sekiranya tiada sebarang tindakan diambil. 

Sebelum ini, tular juga video remaja bergurau dengan rakannya di dalam masjid dan tersilap menarik kaki seorang jemaah lelaki yang sedang menunaikan solat. 

Remaja terbabit dikatakan mahu cuba mengusik rakannya yang sedang solat, namun melakukan kesilapan disebabkan warna baju yang dipakai jemaah terbabit adalah sama. 

Tindakan itu menyebabkan jemaah yang ditarik kakinya tersungkur dan tidak dapat meneruskan solatnya. 

Bagaimanapun, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kedua-dua video tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram