
ISU peniaga tanpa lesen sering menjadi perdebatan terutama apabila melibatkan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.
Kejadian terbaru di Dataran Merdeka mencetuskan pelbagai reaksi apabila seorang peniaga air mineral bertindak balas secara emosional selepas dipercayai ditegur oleh pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebuah rakaman video yang tular di media sosial memperlihatkan peniaga tersebut membuang kesemua barangan jualannya selepas didatangi pegawai DBKL.
BACA LAGI: [VIDEO] Bahana curi kabel TNB, seorang maut, rakan jenayah sempat larikan diri di Ipoh
Suasana orang ramai berbuka puasa di Dataran Merdeka.
Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, dengan ada yang menyokong tindakan penguatkuasaan manakala ada juga yang bersimpati dengan nasib peniaga tersebut.
Dalam video terbabit, peniaga berkenaan kelihatan berang dan bertindak mengeluarkan air mineral yang dijualnya menggunakan troli, sebaik sahaja pegawai DBKL menghampiri.
Kejadian itu mendapat perhatian ramai di ruangan komen media sosial.
Seorang pengguna, Asyraf Basri menyuarakan pendapat bahawa tindakan peniaga tanpa lesen itu menjejaskan perniagaan peniaga berlesen yang membayar sewa tapak di sekitar Dataran Merdeka.
“Benda ini dah lama berlaku. Di situ memang ada food truck yang bayar untuk berniaga. Bila ada ‘ulat-ulat’ macam ni, peniaga berlesen jadi rugi kerana pelanggan berkurang.
"Lagi satu, mereka bukan menjual dengan harga biasa tetapi jauh lebih mahal. Air kosong RM2, air tin biasa RM3, air tin gas RM4, air botol RM5 hingga RM6 dan air buah-buahan RM10 hingga RM15,” katanya.
Pendapat itu turut disokong oleh pengguna lain, Suhaimi Mie yang menekankan kepentingan lesen perniagaan dan pematuhan kepada undang-undang.
“Nanti adalah yang kata mereka mencari rezeki untuk keluarga. Tapi bagaimana dengan peniaga berlesen?
"Mereka pun mencari rezeki juga. Kalau kita sudah bayar lesen, tiba-tiba ada orang lain berniaga tanpa lesen di tempat sama, tentu kita rasa tidak adil,” ujarnya.
Namun, ada juga netizen yang bersimpati dengan nasib peniaga tersebut.
Warga maya, Mahfuza Mustapha mengakui bahawa peniaga berlesen memang menanggung pelbagai kos dan peraturan, namun pada masa yang sama dia memahami kesukaran yang mungkin dihadapi oleh peniaga jalanan.
“Mereka yang berniaga tanpa lesen memang salah tetapi kita pun perlu melihat dari sudut lain.
"Mereka ini juga hanya mencari rezeki. Kadang-kadang, harga yang tinggi itu mungkin kerana mereka tidak punya tempat tetap dan menanggung risiko,” katanya.
Ada juga individu yang merasakan tindakan penguat kuasa itu sepatutnya dilakukan dengan lebih berhemah.
Menurut Datuk Kamarudin Abdullah, penguatkuasaan peraturan harus mempunyai fleksibiliti, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.
“Bukan nak kata salah atau betul, tetapi pihak berkuasa boleh bersikap lebih bertimbang rasa. Ini hanya peniaga kecil yang berniaga air waktu berbuka. Tidak besar sangat kesalahannya,” katanya.
Sebaliknya, ada juga yang menegaskan bahawa penguatkuasaan harus tegas tanpa kompromi.
Ahmad Safuan menegaskan bahawa peniaga tanpa lesen boleh menjejaskan peniaga berdaftar yang membayar cukai dan sewa tapak.
“Kalau warga asing yang buat begini, kita cepat marah. Tetapi bagaimana pula jika rakyat tempatan sendiri yang melanggar peraturan? Kita harus adil dalam menilai situasi ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram