
SEORANG peniaga gerai makanan di Taman Desa Cinta Sayang, Sungai Karangan, Kedah meluahkan rasa kecewa selepas mendapati payung niaganya dicuri oleh lelaki dipercayai warga emas.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7 pagi Isnin itu sempat dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial.
Dalam rakaman yang dikongsi pemilik gerai, Waniey Razmi, lelaki berkenaan dilihat berhentikan kenderaannya di hadapan gerai tersebut dan mengambil payung niaga tanpa mengambil kaki payung.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kesian peniaga bayar tapak,' warganet mahu penjual tanpa lesen patuh peraturan
BACA LAGI: [VIDEO] Bahana curi kabel TNB, seorang maut, rakan jenayah sempat larikan diri di Ipoh
Suspek kemudian memasukkan payung tersebut ke dalam keretanya dan beredar dari lokasi tanpa menyedari tindakannya dirakam CCTV yang berada di lokasi kejadian.
Waniey dalam hantaran di media sosial menyatakan rasa kesal terhadap tindakan individu berkenaan yang disifatkan sebagai tidak beretika, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
“Kaki payung tak diambil, hanya bahagian atas sahaja yang dicuri.
“No plat dan wajahnya telah dikenalpasti dan laporan polis sudah dibuat. Saya beri peluang kepada individu berkenaan untuk mengembalikan barang yang diambil. Jika tidak, tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya.
Waniey turut menegaskan bahawa perniagaan perlu dilakukan dengan cara yang halal dan mencuri bukanlah jalan yang betul untuk mencari rezeki.
“Kita berniaga kena guna barang yang halal, bukan barang yang haram macam ini. Tidak berkat rezeki yang diperoleh kalau dengan cara mencuri.
"Pakcik ini mungkin berniaga juga tetapi menggunakan barang yang diambil secara tidak sah,” tambahnya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai untuk membantu menyebarkan maklumat mengenai kejadian ini bagi mengenalpasti individu terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram