
TINDAKAN remaja yang cuba bergurau dengan rakannya di dalam masjid mengundang padah apabila tersilap menarik kaki seorang jemaah lelaki yang sedang menunaikan solat pada Jumaat minggu lalu.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial sejak Rabu memaparkan beberapa orang remaja lelaki sedang berkejaran di dalam ruangan solat jemaah lelaki.
Remaja terbabit dikatakan mahu cuba mengusik rakannya yang sedang solat, namun melakukan kesilapan disebabkan warna baju yang dipakai jemaah terbabit adalah sama.
Dalam video sama, kelihatan seorang daripada remaja itu dengan pantas menarik kaki jemaah yang sedang sujud sehingga menyebabkan warga emas lelaki itu hilang kawalan lalu terjatuh.
"Pak cik itu hilang keseimbangan dan tertiarap lalu bangun dengan marah.
"Menyedari kesilapannya, remaja itu segera melarikan diri, tetapi pakcik tersebut terus mengejarnya sehingga ke luar masjid," tulis pemilik video dengan akaun @aqiihhhh.
Remaja berkenaan bagaimanapun dikatakan sudah memohon maaf kepada jemaah tersebut atas kelakuannya.
Sementara itu, rata-rata warga maya yang menonton video itu beranggapan bahawa ia satu tindakan tidak sopan kepada individu sedang menunaikan ibadah.
"Perlu ajar adab dan akhlak kepada kanak-kanak. Ramai sekarang yang kurang akhlak.
"Khidmat rotan perlu dikembalikan. Ajar mereka sikap saling hormat-menghormati," komen Labu Emas.
Sehingga kini, masih belum ada kenyataan dikeluarkan pihak masjid berkenaan berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram