Polis siasat kes kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 2 anggota tentera ditahan


  • 112
  • Rabu, 26 Mac 2025

Dua anggota Batalion 20 RAMD ditahan di Kem Sri Miri, Sarawak sekitar pukul 4.30 petang Selasa.  

POLIS menahan dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.  

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu memaklumkan bahawa kedua-dua individu berusia 22 dan 24 tahun itu diberkas di Kem Sri Miri, Sarawak sekitar pukul 4.30 petang Selasa.  

“Mahkamah telah meluluskan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari sehingga 2 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya.  

BACA LAGI: [VIDEO] Gigih cari duit lebih menjelang raya, lelaki berhelmet curi tabung masjid selepas Subuh di Seremban

BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.  

Siasatan awal mendapati, insiden berlaku sekitar pukul 2.15 pagi Isnin lepas di berek bujang kem tersebut. 

Ketika kejadian, mangsa yang sedang tidur dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur. 

Namun, sebelum dibenarkan makan, dia diminta melakukan ‘commando rest’ dengan meletakkan kepala ke lantai dan tangan di belakang selama dua minit, diikuti 20 kali tekan tubi.  

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram