
KUMPULAN peruncitan Malaysia, Macrovalue baru-baru ini dilapor akan mengambil alih perniagaan DFI Retail Group (DFI) di Singapura yang merupakan pemiliki kepada rangkaian runcitan utama di republik tersebut iaitu Cold Storage dan Giant.
Media Singapura, The Straits Times (ST) melaporkan, perjanjian bernilai S$125 juta (RM412.5 juta) itu merangkumi semua 48 kedai Cold Storage di Singapura, termasuk di bawah jenama CS Fresh, CS Gold dan Jason's Deli, serta 41 cawangan Giant, selain dua pusat pengedaran.'
DFI dalam kenyataan berkata, kumpulan itu telah menandatangani perjanjian dengan Macrovalue dan urus niaga dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini, 'tertakluk kepada pelarasan dan syarat lazim dimuktamadkan'.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
Menurut DFI, langkah penjualan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk memfokuskan operasi mereka ke pasaran Hong Kong dan Asia Utara.
Untuk rekod, Macrovalue bukanlah nama baharu dalam industri peruncitan.
Pendedahan Tatt Keong (kiri) kepada dunia peruncitan ketika menjadi penasihat undang-undang pelabur Jepun yang ingin menembusi pasaran Malaysia membawa kepada kewujudan SOGO Kuala Lumpur pada 1994.
Pada 2023, syarikat tersebut mengambil alih operasi runcit makanan GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. yang merangkumi rangkaian Giant, Cold Storage, Mercato, TMC dan Giant Mini di seluruh Malaysia.
Individu di sebalik kejayaan tersebut ialah Datuk Andrew Lim Tatt Keong, 69, seorang peguam korporat yang bertukar haluan menjadi usahawan dengan menjadi pemilik bersama Macrovalue.
Berasal dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang, beliau merupakan anak kepada mendiang Lim Cheng Poh, seorang peguam yang dihormati dan pengasas firma guaman Messrs Lim Cheng Poh, Lim & Rahim.
Tatt Keong memulakan kerjaya sebagai peguam selepas menamatkan pengajian undang-undang di United Kingdom, namun mula menceburi bidang perniagaan apabila terlibat dalam penubuhan SOGO Kuala Lumpur pada 1994.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University College Cardiff, Wales dan kemudiannya lulus Peperiksaan Bar dari Middle Temple, London.
Di bawah teraju Tatt Keong, SOGO berkembang menjadi jenama mercu pusat beli-belah di dalam negara.
Pada 1982, beliau diterima sebagai peguam bela dan peguam cara di Malaysia dan memulakan kerjaya dalam firma guaman milik keluarganya.
Namun, dunia guaman bukanlah destinasi akhir beliau. Ketika berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada pelabur Jepun yang ingin menembusi pasaran Malaysia, beliau terlibat dalam penubuhan SOGO Kuala Lumpur pada 1994.
Dari sinilah minatnya terhadap dunia peruncitan mula bercambah.
Pada 2000, beliau mengambil alih GAMA di Pulau Pinang, yang diiktiraf sebagai pasar raya dan gedung serbaneka tertua di Malaysia.
Dua tahun kemudian, beliau membuat keputusan membeli SOGO Kuala Lumpur daripada pemilik Jepun yang ketika itu berdepan cabaran kewangan.
Dengan sokongan daripada rakan kongsi dan bank tempatan, beliau memulakan pembelian pengurusan SOGO dengan membayar jumlah "nominal" untuk perniagaan itu.
Beliau yang kini merupakan Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) ketika itu turut terpaksa menanggung liabiliti bernilai RM290 juta.
Di dalam dunia peruncitan, Tatt Keong memiliki reputasi sebagai individu yang mempunyai kemahiran untuk memulihkan sesebuah perniagaan.
"Masalah SOGO ketika itu adalah ia kedai serbaneka lima bintang di lokasi yang salah. Ia mempunyai kedai-kedai mewah seperti Salvatore Ferragamo, Miki Moto, Bally dan Ralph Lauren yang tidak selaras dengan pelanggan di sana.
"Batu Road lebih sesuai untuk jualan kedai niche dua bintang, tiga bintang dan empat bintang. Jadi, kami mengambil bahagian dan mula menempatkan jenama yang sesuai untuk pasaran di lokasi.
"Kami terpaksa membawa masuk barangan yang betul pada harga yang betul dan itulah masa yang sesuai untuk kami mengubah keadaan dalam satu tahun," katanya demikian laporan The Edge.
Suasana di SOGO Kuala Lumpur menjelang sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini.
Antara transformasi berani lain dilakukan selepas mengambil alih pasar raya tersebut adalah menyusun semula tingkat enam di bangunan itu yang terdiri daripada enam restoran antarabangsa menjadi medan selera.
Dengan strategi operasi dan pengurusan kos teliti, beliau berjaya menjadikan SOGO kembali menguntungkan dalam masa setahun.
Sejak itu, beliau terus memperkukuhkan kedudukan dalam industri peruncitan dengan SOGO turut membuka dua cawangan masing-masing di Terengganu dan Johor Bahru, Johor.
Di bawah kepimpinannya, SOGO berkembang daripada mencatat jualan tahunan sebanyak RM220 juta kepada hampir RM1 bilion menjelang tahun 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram