Rakan guru pencetus Ahmad Sabree mulakan bisnes gubah bunga, imbau detik pendapatan pernah cecah RM45,000 sebulan


  • Bizz
  • Rabu, 26 Mac 2025

SEWAKTU menjadi pembantu guru di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di Sungai Buloh, Selangor, Ahmad Sabree Muhammad Rosli langsung tidak terfikir beliau mampu apatah lagi mempunyai kemahiran menggubah bunga.

Idea untuk menyediakan perkhidmatan tersebut tercetus selepas ia dicadangkan oleh salah seorang rakan guru wanita di PPKI berkenaan.

Menurutnya, motif utama ketika itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memperoleh pendapatan tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan diri dan keluarganya.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Ini kerana pada waktu tersebut, beliau yang tinggal di Tanjong Karang, Selangor perlu berulang alik dalam perjalanan yang memakan masa lebih sejam untuk ke sekolah tempat dia bertugas.

"Dengan gaji yang kecil dan kos perjalanan tinggi, saya cuba jual macam-macam produk untuk cari pendapatan tambahan.

"Sampailah seorang rakan guru saya mencadangkan supaya saya cuba buat perkhidmatan menggubah bunga.

"Sebabnya waktu itu perkhidmatan tersebut mendapat permintaan tinggi khususnya daripada pembeli wanita," katanya.

Ahmad Sabree berkata, beliau belajar menggubah bunga secara sendiri dengan merujuk video di media sosial dan internet. 

Meskipun langsung tidak memiliki kemahiran menggubah bunga, Sabree, 33, berkata, saranan tersebut menimbulkan keinginan kepadanya bagi meneroka potensi diri.

"Nak dijadikan cerita, bila saya balik rumah terpandang bunga yang ibu saya beli dan letak di tingkat atas rumah.

"Waktu itu ibu hanya beli tapi dia tak gubah bunga itu pun. Jadi malam itu saya terus beli span dan cuba gubah bunga tersebut.

"Lepas siap saya kongsikan di Facebook," katanya kepada Majoriti.

Perkongsian dibuat itu kemudiannya mendapat perhatian rakan dan kenalannya, sekaligus Sabree mula mendapat tempahan khidmat gubahan bunga.

Ujarnya, gubahan bunga pertama berjaya dijualnya pada 2017 pada harga RM55.

"Sebenarnya waktu pertama kali orang beli itu memang saya rasa tak percaya. Sebabnya pada masa itu saya memang tidak ada apa-apa asas menggubah bunga.

"Tapi bila orang dah mula percaya dengan hasil kerja kita, memang terkejut.

"Jadi daripada situlah perkhidmatan saya mula tersebar dalam kalangan kenalan pelanggan saya hinggalah sekarang," ujarnya yang masih melakukan perkhidmatan tersebut secara sambilan dengan bergerak di bawah jenama Orchid By Sabree.

Ahmad Sabree mula menyediakan perkhidmatan menggubah bunga sejak 2017.

Pada waktu itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia boleh memperolehi pendapatan sehingga RM6,000 seminggu hasil tempahan gubahan bunga.

Menurutnya, kemahiran menggubah bunga itu dipelajari secara sendiri dengan merujuk di YouTube dan penggubah lain yang aktif di Facebook.

Pada masa sama, beliau turut sentiasa mengemaskini kemahiran gubahan bunganya dengan mengikut trend dan gaya semasa.

Pendapatan cecah RM45,000

Dalam pada itu, Sabree berkata, permintaan terhadap khidmat gubahan bunga lazimnya akan meningkat mengikut musim tertentu antaranya ketika sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan juga Aidilfitri.

Jumlah tempahan yang diterima ketika musim kemuncak pernah mencapai lebih 100 pasu dalam tempoh sebulan.

"Kalau Hari Raya saya pernah dapat paling tinggi RM45,000 untuk tempahan semasa bulan puasa sahaja.

"Itu kira pendapatan daripada jualan. Keuntungan biasanya separuh daripada itu sebab barang-barang gubahan pun banyak yang mahal," ujarnya yang lazimnya melakukan kerja gubahan selepas waktu kerja pada malam hari.

Antara pelanggan yang mendapatkan khidmat gubahan bunga Ahmad Sabree. 

Pada waktu ini, Sabree menjalankan kerja gubahan dari sebuah rumah yang disewanya di Tanjong Karang khusus untuk tujuan tersebut dan turut dibantu oleh ibunya.

Hasil air tangan gubahan bunganya yang dijual bermula pada harga RM15 hingga mencecah ratusan ringgit turut mendapat perhatian beberapa artis tempatan antaranya Datuk Aznil Haji Nawawi, Uqasha Senrose dan Ernie Zakri.

Sementara itu, Sabree memaklumkan beliau masih tidak terfikir untuk melakukan pekerjaan menggubah bunga itu secara sepenuh masa.

"Saya masih buat secara sambilan sebab saya sangat suka dengan kerja saya sekarang yang terlibat dengan murid pendidikan khas.

"Di sekolah pun pengetua memberikan ruang kepada saya untuk mengajar murid-murid ini dan bantu pihak sekolah mendapatkan dana atau menjana kewangan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram