Bayaran lakonan 'ciput', Adam Corrie mengorak langkah bisnes kurta, lebih 10 tahun tak ambil gaji


  • Bizz
  • Selasa, 25 Mac 2025

Adam memulakan perniagaan pakaiannya sejak 2014.

USAHAWAN yang juga pelakon senior, Adam Corrie Abdullah mendedahkan beliau dan isterinya tidak pernah mengambil gaji sepanjang menjalankan perniagaan pakaian mereka sejak 2014.

Malah Adam berkata, untuk meneruskan bisnes tersebut yang kini fokus menjual kurta, beliau terpaksa menggunakan pendapatan diperoleh daripada simpanan dan hasil lakonannya bagi menampung keperluan kewangan butik beroperasi di Medan MARA, Kuala Lumpur.

"Saya dengan isteri daripada awal buka sampai hari ini tak pernah ambil gaji.

"Bukan tidak mahu ambil, tapi bila jumlah jualan tidak mencukupi, macam mana nak ambil gaji.

"Malah, kami juga terpaksa tambah daripada duit simpanan kami untuk teruskan perniagaan ini," katanya yang sudah memeluk Islam sejak 2007.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Berkongsi kepada Majoriti, Adam berkata, perniagaan pakaian diusahakan bersama isterinya, Fazima Mohd Fuad itu dimulakan pada 2014 dengan menjual T-shirt.

Ia kemudiannya berkembang sedikit demi sedikit sebelum beliau mula memfokuskan kepada pakaian kurta dengan rekaannya sendiri di bawah jenama Mr & Mrs Adam Corrie Exclusive.

Adam menunjukkan antara koleksi kurta yang dijual di reruainya.

Pada masa sama, beliau turut menyewa sebuah butik kedai di Medan MARA, Kuala Lumpur sejak kira-kira 11 tahun lalu.

Sementara itu, Adam berkata, beliau membuat persiapan agak awal untuk perayaan tahun ini yang menampilkan kurta dengan tiga rekaan baharu.

Sambutan jualan pada musim Aidilfitri kali ini menurutnya agak suram dengan penurunan hampir 50 peratus berbanding beberapa tahun sebelumnya.

"Saya tak pasti sama ada orang belum gaji atau macam mana.

"Tapi saya lihat tahun ini kuasa membeli pengguna agak kurang," katanya yang turut berterima kasih kepada pengurusan Medan MARA yang sentiasa memahami dan membantunya bagi meneruskan perniagaan di premis berkenaan.

"Saya teruskan perniagaan ini kerana ALLAH. Saya mengharap dan yakin dengan rezeki-NYA.

"Itu yang membolehkan saya bertahan sampai hari ini."

Nasib pelakon senior

Adam (kanan) bersama isteri mengusahakan jenama pakaian Mr & Mrs Adam Corrie Exclusive. — Adam Corrie

Dalam pada itu, Adam berkata, dengan perjalan perniagaannya yang berdepan ketidaktentuan, beliau ada kalanya terpaksa menggunakan hasil pendapatan diperolehi daripada dunia lakonan bagi menampung operasi. 

Ia termasuk membayar gaji pekerja dan sewaan premis butiknya.

Namun, lebih memburukkan keadaan, Adam berkata, pelakon veteran sepertinya sering kali ditawarkan kerja dengan kadar pendapatan sangat menyedihkan.

Beliau juga sangat kecewa apabila terdapat penerbit yang menawarkannya bayaran pada harga RM300 bagi satu episod drama.

"Maaf saya terpaksa cakap benda ini sebab saya rasa terhina.

"...Tapi saya nak bagitahu mereka, saya tak kemaruk nak dapatkan RM300 itu.

"Saya yakin dengan ALLAH dan saya percaya rezeki dari DIA tetap akan datang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram