Rushdi Ramli dedah tekanan isteri pertama, campur tangan pihak ke-3 punca bercerai dengan Nora Ariffin


  • Hiburan
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Rushdi (kiri) mempertahankan kenyataan Nora berhubung sebab penceraiannya mereka sebelum ini.

SUAMI kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, Dr Rushdi Ramli tampil menafikan dakwaan isteri pertamanya, Rose Aliza Sutrisno, yang mendakwa keputusan perceraian dibuat atas kehendaknya sendiri. 

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa terdapat desakan daripada Rose dan anak mereka, Alia Rushdi yang menjadi punca kepada penceraian tersebut.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM) itu menegaskan bahawa dakwaan Rose adalah tidak benar dan boleh menjejaskan nama baiknya serta Nora.

"Saya pada mulanya enggan mengulas lanjut, namun bagi membersihkan nama dan menjelaskan keadaan sebenar, saya menafikan sepenuhnya dakwaan Rose.

"Kenyataan tersebut tidak tepat dan memberi gambaran yang salah terhadap saya sebagai suami serta Nora sebagai isteri kedua.

"Sebenarnya, saya menceraikan Nora akibat tekanan dan desakan daripada Rose. Namun, selepas itu saya telah merujuknya kembali," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

BACA LAGI: Alami perubahan fizikal lepas bersalin, 8 perkara ibu patut tahu, paling penting jangan panik

BACA LAGI: Digalakkan anak-anak ikut tarawih, jangan sampai ganggu jemaah lain. Berikut tip elak si kecil meragam di masjid

Rushdi turut menambah bahawa beliau memiliki bukti yang menunjukkan terdapat campur tangan pihak ketiga yang mempengaruhinya dalam keputusan tersebut.

Walaupun memahami situasi Rose yang dimadukan tanpa pengetahuannya, Rushdi berpendapat bahawa tindakan mendesaknya untuk menceraikan Nora adalah tidak wajar.

"Saya berharap kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Saya menyayangi kedua-dua isteri serta keluarga saya.

"Saya menghargai setiap pengorbanan dan jasa Rose sepanjang perkahwinan kami, begitu juga dengan kebaikan Nora dalam kehidupan saya.

"Saya hanya ingin membina keluarga yang harmoni, penuh kasih sayang dan ketenangan hingga ke akhir hayat," katanya.

Pada 19 Mac lepas, Rose menerusi hantaran di Facebook menafikan dakwaan bahawa dia dan anaknya menjadi punca perceraian Rushdi dengan Nora. 

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan Rushdi sendiri, tanpa sebarang paksaan daripada mereka.

Kenyataan Rose itu dikeluarkan selepas Nora memuat naik gambar papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor di media sosial berserta kenyataan bahawa permohonan cerai tersebut bukan atas kehendaknya sendiri, sebaliknya bagi memenuhi permintaan isteri pertama dan anak mereka.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram