
TUGAS berat yang dihadapi para pendidik di Malaysia semakin menjadi isu hangat yang masih belum menemui jalan penyelesaian menyeluruh.
Tidak sanggup lagi melihat keadaan itu, Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyuarakan dua isu utama yang perlu diselesaikan segera demi kemajuan sistem pendidikan negara.
Anuar berkata, sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan, kesejahteraan guru dan pembelajaran murid akan terus ternganggu.
Anuar menggesa pihak kementerian mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu tersebut.
Menurutnya, isu pertama adalah melibatkan beban tugas guru yang berat memang wujud dan sudah diakui.
Kata Anuar, masalah itu masih berpanjangan meskipun tujuh langkah mengurangkan beban tugas guru pada awal 2023 dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Walaupun sudah lebih dua tahun berlalu, isu beban tugas guru ini nampaknya masih juga tidak selesai.
"Guru-guru masih bertanya hal ini. Baiklah KPM segera bentangkan laporan pencapaian tujuh langkah mengurangkan beban tugas guru supaya nampak usaha yang telah dilakukan.
"Kalau tiada sebarang laporan, isu ini akan terus 'menghantui' sistem pendidikan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Jelasnya lagi, isu kedua pula melibatkan kaedah agihan tugas guru yang tidak sistematik.
Antara tujuh langkah yang diperkenalkan KPM awal 2023.
Anuar berkata, terdapat keluhan daripada guru tentang agihan tugas yang dikatakan tidak adil.
"Itu keluhan mereka. Mungkin benar, mungkin tidak. Lain sekolah mungkin lain kisahnya. Saya mampu dengar sahaja.
"Cuma, sebagai seorang yang pernah menjadi guru, saya faham isu agihan beban tugas ini.
"Tetapi, ini bukan kelemahan KPM. Ini di bawah tanggungjawab pentadbiran sekolah," katanya.
Beliau pada masa sama menyarankan pihak sekolah untuk mempunyai sistem agihan yang telus dan terbuka.
Tambahnya, setiap sekolah perlu membuat jadual agihan tugas guru bagi memudahkan mereka untuk menyusun waktu bersama murid.
"Jika ada guru yang sanggup nak buat kerja lebih, itu hak mereka.
"Cuma mereka perlu berikan persetujuan sukarela secara hitam putih supaya tidak timbul rungutan di belakang hari," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram