Kebakaran ruang kargo punca pesawat MH720 beri isyarat kecemasan


  • Primer
  • Selasa, 18 Mac 2025

MH720 dari Jakarta ke Kuala Lumpur selamat mendarat di KLIA petang Selasa selepas mengisytiharkan kecemasan ketika dalam penerbangan.— Gambar Hiasan

PENERBANGAN Malaysia Airlines MH720 dari Jakarta ke Kuala Lumpur yang membawa 114 penumpang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Selasa selepas mengisytiharkan kecemasan ketika dalam penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan kejadian terbabit. 

Katanya, terdapat kecemasan dalam penerbangan dan memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan.

BACA LAGI : [VIDEO] Rempuh 3 motosikal di 3 lokasi berbeza, ayah rayu bantuan orang ramai kesan pemandu Myvi langgar lari anak

BACA LAGI : [VIDEO] 'Kucing hidu bahaya', pemandu Myvi baru masuk kenderaan nyaris maut kena 'sodok' kereta laju di Kulim

"Semua penumpang telah keluar dari pesawat dan sedang menunggu bagasi, yang mungkin mengambil sedikit masa. 

"Bagi penumpang yang mempunyai penerbangan sambungan, mereka akan diuruskan bagi perjalanan seterusnya,” katanya tanpa mendedahkan punca kecemasan.

Isyarat kecemasan diterima pada 6.02 petang dan pesawat itu selamat mendarat di landasan 32R KLIA pada pukul 6.17 petang, katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan penerbangan MH720 dari Jakarta ke Kuala Lumpur terpaksa mengambil langkah kecemasan selepas menerima isyarat kebakaran di ruang kargo pesawat.

Pesawat yang membawa 115 penumpang dan tujuh anak kapal itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.18 petang Selasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kru penerbangan segera mengaktifkan sistem pemadam kebakaran di bahagian kargo hadapan mengikut prosedur keselamatan standard.

Menurut kenyataan Malaysia Airlines, pesawat tersebut telah diarahkan ke kawasan terpencil sejurus mendarat bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan. Semua penumpang dan anak kapal berjaya keluar dengan selamat.

"Pasukan bomba dan teknikal telah bersedia di lokasi bagi menilai keadaan sebelum membuka pintu kargo untuk pemeriksaan lanjut," menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, laman web penjejak penerbangan FlightRadar24 melaporkan di halaman Facebooknya bahawa MH720 telah mengeluarkan kod 7700 di selatan Kuala Lumpur, menandakan kecemasan umum..— The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram